Kabinet setuju pengambilan pekerja asing dibuka
PUTRAJAYA - Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat bersetuju pengambilan pekerja asing dibuka untuk semua sektor selain daripada sektor perladangan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menerusi satu kenyataan berkata, mesyuarat itu juga bersetuju agar Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan pekerja asing dari Bangladesh.
Beliau berkata, kabinet turut bersetuju supaya pelaksanaan levi pelbagai peringkat ditangguhkan dari 1 Januari 2022 kepada1 Julai 2022 agar majikan tidak terbeban.
Susulan itu, Saravanan berkata, pengambilan pekerja asing akan dibuka untuk sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing iaitu perladangan, pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan dan perkhidmatan domestik.
“Memandangkan kemasukan pekerja asing akan merangkumi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan dan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19, Kementerian Sumber Manusia akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing, termasuk aspek kuarantin bagi memastikan tiada kompromi dari segi keselamatan dan kesihatan," katanya.
Saravanan sebelum ini dilaporkan berkata, negara berdepan masalah kekurangan pekerja yang kritikal membabitkan lima sektor 3D (kotor, bahaya, sukar) iaitu perladangan, pembuatan, pembangunan, pertanian dan perkhidmatan kerana tidak mendapat sambutan rakyat tempatan.
Selain itu, beliau berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju agar beliau menandatangani MoU dengan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad bagi pengambilan pekerja Bangladesh di Malaysia.
"Kemasukan pekerja warga Bangladesh ini akan dilaksanakan sejurus MoU tersebut ditandatangani dalam masa terdekat," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!