Pejuang tidak puas hati prestasi menteri

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
A
A
A

MERBOK - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyifatkan pencapaian 100 hari prestasi jemaah menteri Keluarga Malaysia sebagai 'gagal'.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pencapaian mereka dilihat gagal selain memberikan 'gred F' kepada pencapaian kerajaan Keluarga Malaysia.

Menurutnya, meskipun menerima jumlah peruntukan bajet yang begitu besar, pelaksanaan setiap projek serta pelan yang direncanakan tidak memberikan kesan dan manfaat besar kepada rakyat.

"Failed (gagal), I give them F (saya beri mereka F)," jelasnya.

Beliau ditemui ketika melakukan walkabout Pejuang di Bangunan Arked Tanjung Dawai, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, tiada pencapaian yang dilihat malah apa yang dilaksanakan adalah meneruskan dasar kerajaan terdahulu.

"Kita nampak bajet yang begitu besar yang tak pernah (ada) dalam sejarah mencecah lebih RM322 bilion tetapi perbelanjaan dan pelaksanaan projek entah ke mana.

"Sekarang ini nampak macam dah balik ke zaman (pentadbiran) Barisan Nasional (BN) di mana belanja (yang diperuntukkan itu) banyak tetapi nikmat dan manfaat kepada rakyat tidak dirasai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa prestasi keseluruhan 100 hari ahli jemaah menteri berjaya mencapai 90 peratus daripada sasaran ditetapkan.

Bagaimanapun jelasnya, sesetengah prestasi tidak dapat dinilai daripada kaji selidik semata-mata.

Namun ujar beliau, peratusan yang dicapai bukan alasan untuk seluruh pimpinan kerajaan mendabik dada sebaliknya menyuntik kesungguhan dan iltizam buat barisan jemaah menteri untuk terus bekerja bersama rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!