Pembangunan Kampung Sungai Baru: Pemaju tawar pangsapuri
KUALA LUMPUR - Pemaju projek pembangunan semula Sungai Baru, Ritzy Gloss Sdn Bhd menawarkan pangsapuri di bawah Pakej Harmoni kepada 38 pemilik Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang tidak bersetuju dengan projek tersebut.
Pengarah Ritzy Gloss Sdn Bhd, Abdul Hadi Ahmad berkata, pakej itu menawarkan kediaman berkeluasan kira-kira 275 meter persegi (900 kaki persegi) bernilai RM300,000 yang boleh dimiliki dengan separuh harga daripada jumlah pampasan pengambilan tanah diterima pemilik.
"Sebagai contoh, pemilik yang menerima jumlah pampasan pengambilan tanah berjumlah RM250,000 boleh memiliki pakej ini dengan harga RM125,000.
"Kediaman ini dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta satu petak tempat letak kereta yang akan dibina di dalam kawasan projek pembangunan semula tersebut," katanya pada sidang akhbar Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru di The Hall, KL Gateway Mall di sini pada Jumaat.
Abdul Hadi berkata, tawaran rasmi tersebut akan diberikan kepada pemilik terlibat selepas Borang H, Akta Pengambilan Tanah 1960 dikeluarkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengikut tempoh masa akan diputuskan kelak.
Sabtu lalu, sebahagian penduduk Kampung Sungai Baru berkumpul menyuarakan bantahan dan meminta kerajaan campur tangan selepas diberikan tawaran pampasan rendah di bawah tatacara Akta Pengambilan Tanah 1960.
ARTIKEL BERKAITAN: Pampasan rendah, penduduk mohon campur tangan kerajaan
Mengulas berhubung perkara itu, Abdul Hadi menjelaskan, pihaknya membuat permohonan Akta Pengambilan Tanah 1960 dibuat pada awal Januari lalu selepas rundingan sejak tahun 2016 tidak mendapatkan persetujuan keseluruhan.
"Setakat ini sebanyak 85 peratus daripada 264 pemilik Flat PKNS telah bersetuju dengan pembangunan semula kawasan ini iaitu 192 pemilik telah menurunkan tandatangan usaha sama, sementara 20 pemilik lagi sedang dalam proses urusan pindah milik, manakala 15 pemilik mengubah fikiran untuk bersetuju dengan projek ini.
"Sekiranya baki 38 pemilik Flat PKNS bersetuju dengan Pakej Harmoni yang ditawarkan, projek tersebut dijangka boleh dimulakan antara Jun dan Julai pada tahun hadapan," jelas beliau.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Zulfakar Wahid berkata, projek tersebut telah berjalan sejak tahun 2016 dan hanya kumpulan minoriti yang tidak bersetuju.
"Mahu tak mahu projek pembangunan ini perlu diteruskan memandangkan kebanyakan besar penduduk telah bersetuju dan mengosongkan unit sejak tahun 2016.
"Ada yang telah berpindah ke rumah transit dan juga menyewa di luar sementara menunggu projek tersebut dilaksanakan. Ada juga yang telah meninggal dunia, tidak sempat merasai duduk di rumah baharu," katanya.
Beliau pada sama menjelaskan kekeliruan bahawa projek pembangunan Kampung Sungai Baru tersebut adalah berbeza dengan pembangunan semula Kampong Bharu di bawah Lembaga Tanah Pertanian Melayu (MAS).
Pembangunan semula Kampung Sungai Baru melibatkan seramai 328 pemilik lot dan Flat PKNS terdiri 64 lot teres dan 264 unit flat yang terlibat dengan projek tersebut.
Pemaju sebelum ini menawarkan unit gantian hartanah dengan kemudahan fasiliti kondominium berserta tempat letak kereta dianggarkan bernilai RM823,000 hingga RM1.02 juta kepada pemilik berdasarkan keluasan, jenis dan kategori tanah milik yang menurunkan tandatangan persetujuan pembangunan semula kawasan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pampasan perpindahan penduduk Kampung Sungai Baru lebih RM250,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!