Fakta buli jadikan pelajar kuat tidak benar
SHAH ALAM - Isu buli sama ada di sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT) bukanlah perkara biasa yang boleh dipandang remeh, tetapi sepatutnya sudah lama diatasi.
Aktivis masyarakat daripada Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Mohd Afiq Salim berkata, sistem pendidikan negara ini sudah dilengkapi dengan pembangunan sahsiah diri yang mantap dan berkesan sehingga melahirkan ramai insan berkaliber.
Bagaimanapun katanya, timbul persoalan kejadian buli masih terus berlaku walaupun warden atau pengurus asrama telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan pelajar.
“Buli sudah menjadi budaya malah dibanggakan sesetengah pelajar. Fakta kononnya dengan buli akan menjadikan pelajar lebih kuat adalah tidak tepat.
“Kuat atau tidak pelajar itu bergantung kepada sejauh mana disiplin yang diterapkan dalam kehidupan. Sebagai penyelesaian, ia membabitkan dua komponen iaitu penghayatan nilai murni di rumah serta kesedaran mengenainya dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, sikap dan mentaliti masyarakat yang menganggap buli itu perkara biasa atau lumrah di asrama juga perlu dikikis sama sekali.
Jelasnya, sudah sampai masanya kempen ‘Katakan Tidak Kepada Buli’ diperkemaskan semula dan menjadi doktrin yang sentiasa segar dalam ingatan semua.
“Di pihak kementerian yang bertanggungjawab, mungkin perlu ditambah baik perjawatan sedia ada untuk mengurus asrama dengan lantikan lebih ramai warden.
“Selain itu, meletakkan pondok kawalan dengan anggota polis bantuan di semua asrama juga adalah wajar bagi membendung budaya gangsterisme yang seolah-olah tidak terkawal daripada terus berlaku,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!