MEDAC capai KPI 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia
TANJONG KARANG - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia selepas memenuhi tiga kriteria utama dalam membantu golongan usahawan.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, terdapat tiga kumpulan usahawan dibantu sepanjang tempoh 100 hari itu membabitkan usahawan yang terjejas akibat Covid-19, golongan mencari peluang pekerjaan dan bimbingan digitalisasi.
Menurutnya, kejayaan mencapai KPI itu diperoleh selepas kementeriannya berjaya membantu lebih ramai usahawan daripada sasaran peringkat awal.
"Kriteria pertama ini berjaya memperoleh 116 peratus pencapaian apabila membantu usahawan terkesan akibat Covid-19 daripada seramai 188,000 individu kepada 222,000 individu," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada mangsa kebakaran di Parit 3 Ban 1 Sungai Burong di sini, pada Jumaat.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, golongan kedua dibantu kementeriannya terdiri dalam kalangan mereka yang hilang pekerjaan.
"Mereka ini terdiri dalam kalangan graduan dan belia yang mencari pekerjaan untuk menceburi bidang keusahawanan," katanya.
Kata beliau, kementeriannya itu turut mencatat kejayaan cemerlang apabila memperkukuh daya tahan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui adaptasi dalam teknologi digitalisasi.
"Besar hasrat kementerian (MEDAC) untuk melahirkan usahawan yang boleh mahir dan menggunakan teknologi digitalisasi untuk mengembangkan perniagaan," katanya.
Beliau memberitahu, segala usaha itu berjaya diraih dengan sokongan dan kerjasama daripada semua agensi di bawah MEDAC.
"Sebanyak 11 agensi bersama-sama berganding bahu untuk mencapai KPI yang ditetapkan pihak kementerian dan ketiga-tiga kriteria ini melebihi 100 peratus KPI," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!