Mahkamah tolak saman fitnah kerajaan Sarawak terhadap Presiden PSB

Wong Soon Koh
Wong Soon Koh
A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menolak saman fitnah yang difailkan kerajaan negeri Sarawak terhadap Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh berhubung kenyataan beliau mengenai isu cukai jualan negeri (SST) membabitkan Petronas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Christopher Chin membuat keputusan itu selepas mendapati kerajaan negeri Sarawak telah dinamakan secara salah sebagai plaintif yang sepatutnya dihadkan kepada atau merangkumi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan oleh itu, locus standinya dalam kes berkenaan tidak dibuktikan.

“(Mahkamah juga mendapati) perkataan yang dipertikai tidak memfitnah plaintif dan oleh itu, mahkamah menolak writ saman serta pernyataan tuntutan plaintif dengan kos RM30,000 tertakluk kepada pentaksir,” katanya.

Kerajaan negeri Sarawak memfailkan saman terhadap Soon Koh menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta kerana mendakwa bekas Menteri Kewangan negeri itu telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada 9 Mei lepas mengenai penyelesaian bersama antara plaintif dengan Petronas dalam isu SST.

Dalam penghakimannya, Christopher berkata, beliau sudah berkali-kali menasihati kedua-dua pihak agar menyelesaikan pertikaian itu menggunakan saluran politik dan bukan melalui mahkamah.

“Kes ini berakhir selepas perbicaraan selama 10 hari dengan memanggil tujuh saksi plaintif dan tiga saksi defendan yang ternyata telah menghabiskan wang serta masa kedua-dua pihak selain mahkamah ini.

“(Wang dan masa ini) sepatutnya digunakan untuk memberikan khidmat kepada pengundi dalam usaha meningkatkan rasa legitimasi kerajaan negeri di mata rakyat Sarawak,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media di Pusat Khidmat PSB Bawang Assan pada Jumaat, Soon Koh berkata, beliau gembira keputusan Mahkamah Tinggi itu memihak kepadanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau hanya membangkitkan beberapa pertanyaan mengenai isu berkenaan dan bercakap bagi semua rakyat negeri ini selain bertindak sebagai wakil rakyat dan pembangkang di Sarawak.

“Saya berhak untuk menyuarakan apa yang melibatkan kepentingan awam,” katanya - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!