MIDF kekalkan ramalan pertumbuhan IPP pada 9 peratus tahun ini
MIDF Research telah mengekalkan ramalan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia untuk berkembang sebanyak sembilan peratus tahun ini, sejajar dengan unjuran tahun penuhnya.
Katanya perniagaan tempatan telah meningkatkan aktiviti pengeluaran berikutan pembukaan semula ekonomi dan pertambahan permintaan selepas pelaksanaan sepenuhnya kawalan pergerakan pada awal tahun ini.
“Pertumbuhan yang berterusan dalam permintaan asing turut menyokong output pengeluaran yang lebih kukuh, terutamanya bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) dan petroleum bertapis.
“Melalui Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia yang kekal melebihi 50, kami yakin pertumbuhan IPP akan berterusan pada November 2021,” katanya dalam nota pada Jumaat.
Jabatan Perangkaan Malaysia dalam kenyataan pada Jumaat berkata, IPP Malaysia mengukuh kepada 5.5 peratus pada Oktober 2021 dengan indeks pembuatan memacu pertumbuhan 8.0 peratus pada bulan yang sama, selain disokong indeks elektrik yang meningkat 4.1 peratus.
Bagaimanapun, MIDF Research berkata peningkatan kos pengeluaran, harga komoditi tinggi dan kekangan bekalan lain merupakan risiko yang boleh menjejaskan unjuran pengeluaran, di samping kemunculan varian Omicron Covid-19 yang mencetuskan kebimbangan semula terhadap kemerosotan permintaan sekiranya kawalan pergerakan kembali dilaksanakan.
Namun, ia menjangkakan momentum peningkatan bagi jualan pembuatan akan berterusan untuk beberapa bulan akan datang berikutan pembukaan semula ekonomi akan membolehkan pengguna dan perniagaan untuk meningkatkan aktiviti perbelanjaan mereka.
“Berikutan lebih banyak sekatan kelonggaran diberikan kepada orang ramai, kami menjangka sektor berteraskan domestik akan meningkatkan output mereka berikutan prospek perbelanjaan domestik yang semakin baik,” katanya.
Sementara itu, MIDF Research berkata pertumbuhan eksport yang berkekalan akan turut memacu pengeluaran produk berkaitan perdagangan, terutamanya E&E. Bagaimanapun, cabaran daripada gangguan bekalan global boleh menjejaskan kekuatan aktiviti pengeluaran domestik.
“Melihat kepada pengeluaran kereta yang semakin baik, ia menandakan bekalan yang terhad akan pulih secara beransur-ansur apabila perniagaan meningkatkan pengeluaran mereka pada masa akan datang, dengan menjangkakan permintaan lebih baik untuk beberapa bulan akan datang,” katanya.
Firma penyelidikan itu menjangka aktiviti pengeluaran global akan terus berkembang berikutan PMI global yang kukuh pada 54.2 semasa November 2021, yang mencerminkan pengembangan berterusan bagi aktiviti pembuatan di Amerika Syarikat, Eropah dan negara-negara Asia.
“Meskipun sekatan berkaitan Covid-19 dilonggarkan dan pembukaan semula ekonomi membolehkan lebih banyak aktiviti ditingkatkan, kekangan bekalan dan peningkatan kos pengeluaran kekal menjadi kebimbangan utama yang boleh menjejaskan prospek pengeluaran di banyak negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!