Pelakon drama gay mahu saman produksi
KUALA LUMPUR - Pelakon-pelakon drama pendek memaparkan hubungan gay yang tular baru-baru ini, mahu menyaman produksi yang didakwa tidak memberi penjelasan sebenar terhadap jalan cerita drama itu.
Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak yang mewakili pelakon terbabit dalam kenyataan berkata, anak guamnya sebelum ini dimaklumkan jalan cerita drama itu berkisarkan persabatan dan tidak sama sekali diberitahu ia berunsurkan hubungan songsang.
"Sepanjang perbincangan dan pengambaran yang berlangsung sekitar Ogos sehingga September 2021, pihak produksi tidak menjelaskan perihal mempromosikan aplikasi janji temu (rangkaian sosial gay) melalui tayangan drama tersebut.
"Selanjutnya, skrip yang diserahkan kepada anak guam juga menunjukkan kandungannya sebagai sebuah cerita yang berkisarkan persahabatan," kata kenyataan itu.
Ujarnya, pengolahan serta penambahan skrip secara terus dalam sesebuah cerita adalah satu perkara biasa.
Walau bagaimanapun, pihak produksi hanya menjelaskan bahawa watak-watak utama iaitu Danish Iskandar serta Rees Ayman perlu melakonkan babak yang mana kedua mereka menunjukkan persahabatan yang akrab.
"Danish dan Rees yang melakonkan watak utama di dalam drama tersebut sedikit canggung untuk melakukan babak-babak yang diarahkan oleh pengarah kerana ia tidak seperti yang digariskan di dalam penceritaan asal.
"Pada sekitar 1 Disember 2021, wakil pihak produksi telah menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp kepada anak guam-anak guam yang diwakili untuk membuat promosi poster dan kapsyen untuk disalin tampal oleh pelakon di media sosial mereka.
"Anak guam juga mula sedar bahawa drama ini hanya akan ditayangkan di aplikasi (rangkaian sosial gay) dan trailernya juga telah disunting dan menjadi cerita berkisarkan hubungan songsang," katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, trailer yang disunting juga tidak pernah ditunjukkan kepada para pelakon serta tidak diberitahu bahawa promosinya akan dibuat menerusi aplikasi berkenaan.
"Anak guam juga menafikan mempunyai pengetahuan mahupun menyokong perkara-perkara melibatkan hubungan songsang seperti mana yang ditonjolkan dalam drama berkenaan.
"Bayaran untuk mempromosikan drama bersiri berkenaan telah ditolak oleh mereka," jelas kenyataan itu.
Ujarnya, laporan polis telah dibuat pada hari ini di balai polis Dang Wangi.
Mereka bercadang mengambil tindakan mahkamah kepada pihak produksi berkaitan isu moraliti penggambaran berkenaan.
Kenyataan itu turut menyebut, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak serta Tetuan Hajar Aisyah & Company mewakili tiga anak guam iaitu Danish Iskandar, Rees Ayman dan Hardy Saiful. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!