Lanjutkan tempoh tawaran diskaun saman trafik
SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar tawaran diskaun 80 peratus pengurangan bayaran saman trafik sempena sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dilanjutkan.
Menurutnya, ia selepas beberapa kekangan terutama untuk mengakses aplikasi mudah alih MyBayar Saman selain masalah kesesakan di kaunter menyebabkan orang ramai tidak dapat membayar saman dengan tawaran diskaun tersebut yang akan berakhir pada Ahad.
Beliau menegaskan, lanjutan tempoh tersebut perlu dibuat demi berlaku adil dan mencapai objektif mengurangkan beban rakyat semasa pandemik Covid-19.
"Diskaun 80 peratus pengurangan bayaran saman trafik sempena Sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia membuatkan rakyat berasa gembira dan lega dengan pengurangan diskaun yang diberikan.
"Tetapi apa yang terjadi sebaliknya apabila begitu banyak rungutan didengari berhubung pelaksanaannya. Portal dan aplikasi mudah alih MyBayar Saman yang sepatutnya membolehkan bayaran saman dibuat secara dalam talian tidak dapat diakses," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Jumaat.
Beliau berkata, ekoran kesukaran untuk mengakses aplikasi tersebut, orang ramai terpaksa ke kaunter bayaran trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan daerah.
"Bagaimanapun tidak semua berpeluang memasuki kaunter dan pulang dengan perasaan kecewa kerana jumlah di kaunter telah melebihi had. Tawaran begini sudah menjadi suatu kemarahan pula dalam kalangan rakyat dan sepatutnya boleh dielakkan jika ada perancangan yang teratur.
"Memandangkan jumlah mereka yang mahu mendapatkan diskaun saman trafik terlalu ramai, tempoh masa untuk membuat bayaran wajar dilanjutkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!