Jafri gembira dapat semula rentak permainan
KERJA keras penyerang Penang FC, Muhammad Jafri Firdaus Chew semasa latihan, ternyata membuahkan hasil apabila berjaya mendapatkan kembali rentak permainan selepas prestasi hambar dipamerkan pada permulaan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Perubahan itu sekali gus membuka peluang kepadanya untuk terus bersama skuad Harimau Kumbang apabila pasukan membuat keputusan ‘mengikat’ beliau untuk musim 2022.
Pemain berusia 24 tahun itu berkata, beliau bersyukur kerana akhirnya menemui semangat serta keyakinan yang hilang dalam dirinya ekoran setahun tidak beraksi apabila dilepaskan Kedah sebelum musim 2020 bermula.
“Cukup menggembirakan apabila Penang terus berikan ruang untuk beraksi selepas saya mula dapat keyakinan malah harap diberi minit permainan yang cukup bagi terus buktikan kemampuan saya.
“Saya tahu ramai pada mulanya tidak gembira dengan prestasi saya apabila melihat aksi berdepan Kedah di Liga Super yang merupakan aksi sulung selepas setahun tidak bermain secara kompetitif,” katanya pada Jumaat.
Musim ini menyaksikan Muhammad Jafri menjaringkan dua gol bersama Penang FC dengan satu dalam Liga Super dan satu di pentas Piala Malaysia.
Beliau menyifatkan kejayaan mendapatkan sentuhan sebenar dalam permainan juga disebabkan sokongan dan bantuan yang diberikan jurulatih dan rakan pasukannya.
“Saya kini sudah menjadi seorang pemain yang berbeza dan bersyukur setelah kerja keras dalam sesi latihan serta bantuan rakan-rakan serta jurulatih, semangat saya kini sudah semakin tinggi dan percaya atas kemampuan diri sendiri,” katanya.
Muhammad Jafri pada masa sama berazam mahu terus memperbaiki pencapaian Penang FC selepas menamatkan cabaran di tempat ketiga Liga-M musim ini walaupun dijangka sebahagian besar pasukan akan berubah wajah.
Beliau yang merupakan seorang daripada produk Harimau Muda, pernah beraksi dengan Pulau Pinang pada 2016 dan 2017 sebelum berhijrah ke Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) pada dua musim berikutnya.
Pernah menyertai Kedah FC pada 2020, Muhammad Jafri kemudian terpaksa dilepaskan pasukan itu akibat kecederaan yang menimpanya semasa berdepan Petaling Jaya City FC dalam satu perlawanan persahabatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!