Harimau Malaya sudah dapat rentak

Para pemain Harimau Malaya berada pada prestasi terbaik apabila melakar dua kemenangan awal sebelum berdepan Vietnam pada Ahad. - Foto Football Association of Malaysia. (Gambar kecil: Jamal Nasir)
Para pemain Harimau Malaya berada pada prestasi terbaik apabila melakar dua kemenangan awal sebelum berdepan Vietnam pada Ahad. - Foto Football Association of Malaysia. (Gambar kecil: Jamal Nasir)
A
A
A

KEMENANGAN dalam dua perlawanan awal Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan diharap menjadi penyuntik semangat dan keyakinan diri dalam kalangan pemain Harimau Malaya sebelum berdepan gergasi Asia Tenggara, Vietnam pada aksi ketiga di Stadium Bishan, pada Ahad.

Malah menurut bekas pemain negara, Datuk Jamal Nasir Ismail, kedua-dua elemen itu penting untuk skuad kendalian Tan Cheng Hoe apatah lagi berdepan Naga Emas yang merupakan pasukan pilihan kejuaraan kali ini.

“Bagi saya, dua kemenangan ke atas Kemboja dan Laos merupakan sebagai satu keputusan yang bagus kerana selepas kemenangan itu barulah pasukan negara berjumpa pasukan kuat seperti Vietnam dan Indonesia.

“Ini kerana, kemenangan itu memberikan keyakinan diri yang lebih kepada pemain dan membuatkan pemain lebih yakin untuk berdepan Vietnam yang dilabel the toughest (paling kuat) dalam saingan di peringkat kumpulan.

“Lagi pun diikutkan, Vietnam juga merupakan pasukan pilihan untuk Piala Suzuki AFF kali ini dan sekiranya pasukan negara mampu menewaskan mereka, peluang untuk mara ke peringkat seterusnya agak cerah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Skuad kendalian Cheng Hoe membuka kempen saingan Piala Suzuki AFF 2020 dengan langkah kanan apabila menewaskan Kemboja 3-1 diikuti kemenangan bergaya 4-0 ke atas Laos.

Mengenai prestasi semasa para pemain Harimau Malaya, Jamal Nasir menyifatkan pemain-pemain telah mempamerkan persembahan yang baik biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran sebelum dan semasa kejuaraan berlangsung.

Malah katanya, penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula juga sudah memberikan persembahan terbaik walaupun masih gagal menjaringkan gol untuk skuad negara pada saingan kali ini.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya, sama ada kita turunkan pemain naturalisasi atau pemain tempatan, tujuannya adalah untuk kita tengok pasukan negara menjadi lebih kuat. Jadi bagi pemain naturalisasi ini, kita kena gunakan kelebihan yang mereka ada macam dari segi ketinggian dan sebagainya.

“Kita juga tak boleh kata pasukan negara lebih kuat dengan guna sepenuhnya pemain tempatan kerana ketika berdepan Laos, penyerang tempatan juga gagal menjaringkan gol walaupun mendapat peluang.

“Oleh itu jika kita memiliki pemain naturalisasi kita perlu maksimumkan penggunaan mereka tujuan asal mereka dinaturalisasikan adalah untuk membantu perkuatkan pasukan negara,” ujarnya.

Sementara itu Jamal Nasir berharap skuad negara akan dapat memberikan aksi terbaik ketika berdepan Vietnam sekali gus merealisasikan misi yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia sebelum ini.

“Lagi satu saya nak ingatkan, bola sepak ini bukannya permainan individu, ia adalah padalah permainan berpasukan dan sebab itulah semangat dan kerjasama berpasukan itu sangat penting.

“Kalau kita tengok jaringan hatrik Safawi pun atas sokongan daripada pemain-pemain Harimau Malaya lain. Kalau seorang berkemungkinan besar tidak mampu menjaringkan gol,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!