Kanak-kanak pun ada diabetes juga?
KUALA LUMPUR - "Apa? Kanak-kanak ada diabetes juga!" terjerit Hassan (bukan nama sebenar) ketika diberitahu anak perempuannya, Siti, (bukan nama sebenar) yang berusia 4 tahun, menghidapi diabetes.
"Tidak ada diabetes dalam keluarga kami!" katanya lagi.
Hassan semestinya mempunyai tanggapan salah bahawa hanya orang dewasa sahaja yang menghidapi diabetes.
Sebenarnya kanak-kanak dan remaja juga tidak terkecuali daripada penyakit ini . Malah, diabetes adalah satu daripada penyakit kronik yang paling biasa semasa kecil dan boleh dihidapi kanak-kanak dalam setiap umur termasuklah anak-anak kecil dan bayi.
Pada masa ini, dianggarkan lebih 1 juta kanak-kanak menghidap diabetes di seluruh dunia dan bilangan mereka akan terus meningkat pada kadar 3 hingga 5 peratus setiap tahun.
Mungkin ia memberi sedikit ketenangan kepada Encik Hassan setelah mengetahui bahawa Siti bukanlah seorang sahaja yang menghidap penyakit itu.
Diabetes jenis 1 dalam kalangan kanak-kanak
Terdapat dua jenis utama diabetes dalam kalangan kanak-kanak. Diabetes jenis 1, secara tradisinya, lazim berlaku pada kanak-kanak berumur antara 4 hingga 15 tahun.
Tanda Permulaan
Simptom yang dialami Siti adalah tanda tipikal diabetes jenis 1 bagi kanak-kanak (Jadual 1): dia berada dalam keadaan sihat dua minggu yang lalu. Secara tiba-tiba, suatu hari dia mula mengadu sentiasa lapar dan dahaga dan kerap kencing (dan beberapa kali, juga mengalami terkencing semasa tidur). Ibu bapanya juga menyatakan dia kelihatan mudah marah dan walaupun selera makannya baik, berat badannya menurun dan dia kelihatan letih
Ibu bapa Siti membawanya ke hospital apabila mereka menyedari bahawa dia tidak seperti diri biasa - ternampak lesu, lemah dan susah bernafas.
Jadual 1: Petanda permulaan biasa diabetes jenis 1
Dahaga yang berlebihan
Kerap kencing (dengan sukatan banyak)
Kelaparan yang melampau (kanak-kanak yang lebih muda mungkin mempunyai hilang selera makan)
Berat badan menurun (meskipun selera makan baik)
Lemah dan keletihan
Sakit perut
Mudah marah
Loya dan muntah
Mempunyai nafas berbau aroma buah-buahan dan bernafas cepat
Semasa dimasukkan ke hospital, glukosa darah Siti didapati sangat tinggi (26.8 mmol/L) dan dia mempunyai keton dalam air kencingnya. Pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa Siti menghidap ketoasidosis diabetik – satu komplikasi serius bagi diabetes jenis 1, yang jika tidak dirawat seawalnya dan dengan berkesan, boleh mengakibatkan kematian.
Penyebab Sebenar
Walaupun penyebab sebenar diabetes jenis 1 tidak diketahui, adalah dipercayai bahawa bagi kebanyakan kanak-kanak, sistem imun badan mereka menyerang dan memusnahkan sel-sel beta yang menghasilkan insulin dalam pankreas. Proses ini mungkin dicetuskan oleh jangkitan virus (biasa) tertentu. Awal memberi susu lembu atau bijirin di dalam diet bayi juga boleh meningkatkan risiko. Genetik mungkin memainkan suatu peranan (oleh kerana keadaan autoimun cenderung berlaku dalam keluarga), tetapi diabetes jenis 1 boleh berlaku tanpa sejarah keluarga (seperti dalam kes Siti).
Insulin adalah penting bagi membawa gula (glukosa) dari peredaran darah ke dalam sel-sel badan untuk digunakan sebagai tenaga. Apabila sel-sel beta dimusnahkan oleh proses autoimun, kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 1 menghasilkan hanya sedikit atau tiada langsung insulin. Disebabkan kekurangan insulin ini, glukosa berkumpul di dalam aliran darah kanak-kanak, menyebabkan hiperglikemia (paras glukosa darah tinggi). Tahap glukosa darah yang tinggi, jika tidak dikawal, akan membawa kepada komplikasi akut (contohnya, kabur penglihatan, ketoasidosis) dan komplikasi kronik diabetes seperti kerosakan buah pinggang (nefropati), kerosakan saraf (neuropati), kerosakan mata (retinopati) dan lain-lain.
Rawatan Diabetes Jenis 1
Disebabkan kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 1 mempunyai hanya sedikit atau tiada langsung insulin, mereka mestilah diberi suntikan insulin pada setiap hari untuk mengekalkan glukosa darah dalam julat normal (untuk hidup). Kanak-kanak juga harus diajar mengenai pengambilan makanan yang sesuai (terutama karbohidrat dan gula) dan digalak untuk aktif secara fizikal (dengan melakukan senaman berkala) untuk menjadikan tubuh lebih sensitif terhadap tindakan insulin. Tahap glukosa darah perlu diperiksa secara berkala dengan menggunakan glukometer mudah alih (dan memeriksa keton dalam air kencing, apabila diperlukan). Ibu bapa perlu memberi suntikan insulin dan membuat ujian pada mulanya (semasa anak masih kecil) tetapi kanak-kanak mestilah diajar untuk menjaga diri sendiri apabila ia lebih besar.
Siti kini berusia 7 tahun dan dapat mengurus diabetesnya dengan baik. Dia memberi suntikan insulin sendiri dan melakukan ujian glukosa darah (dan kadang-kadang ujian keton). Siti seronok bersekolah dengan galakan dari guru-guru dan kawan-kawannya yang sedar mengenai diabetesnya.
Diabetes Jenis 1: Prognos Baik Jika Diabetes Diurus Dengan Sempurna
Penyelidikan sedang dilakukan untuk mencari cara bagi mencegah atau menyembuh diabetes jenis 1. Malangnya, setakat ini, tiada lagi cara yang dapat mencegah atau menyembuhkan penyakit ini. Walaupun begitu, rawatan berkesan sedia ada untuk mengurus diabetes jenis 1.
Insulin harus diberikan setiap hari, secara idealnya untuk meniru pelepasan insulin fisiologik oleh individu yang sihat. Ini akan memerlukan suntikan (sekurang-kurangnya) empat kali dalam satu hari: insulin bertindak cepat sebelum setiap tiga hidangan utama untuk mengawal kenaikan glukosa darah selepas makan dan satu lagi suntikan insulin yang bertindak panjang sebelum tidur bagi memberi insulin latar belakang. Kanak-kanak mungkin dapat diberi pam insulin, sekali gus membuatkan suntikan berbilang setiap hari tidak lagi diperlukan.
Kanak-kanak yang mempunyai diabetes jenis 1 juga perlu menguji tahap glukosa darah mereka, sehingga 7- 8 kali setiap hari; dan menguji air kencing untuk keton. Ujian glukosa darah boleh dilakukan dengan mengguna glukometer dan strip. Tetapi, baru-baru ini, peranti ‘patch’ ada dipasarkan untuk mengukur glukosa darah secara berterusan (sehingga 14 hari), sekali gus menjadikan cucuk jari berbilang kali setiap hari tidak lagi diperlukan.
Dan prototaip ‘pankreas tiruan’ yang secara automatik melepaskan insulin berdasarkan maklum balas tahap glukosa darah, menghapuskan keperluan penyesuaian insulin secara manual (dan suntikan) dan ujian glukosa darah berkerap kali.
Berita baiknya ialah, dengan kawalan yang sempurna, kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 1 boleh berharap untuk menjalani kehidupan yang sihat sehingga ke usia tua, bebas daripada komplikasi.
Namun begitu, walaupun ini boleh dicapai, untuk menjadikannya satu realiti memerlukan komitmen yang bersungguh-sungguh dari semua pihak – ibu bapa, anak, guru dan kawan-kawan- dengan sokongan penuh dari team penjagaan kesihatan.
NADI tubuh T-1 Club
Dalam usaha untuk membantu kanak-kanak yang menghidap diabetes dan penjaga mereka menghadapi penyakit sepanjang hayat ini, Institut Diabetes Negara (NADI) menubuhkan Kelab T-1 di pusat sumbernya di Klang.
Kelab ini selalu mengadakan perjumpaan bagi kanak-kanak dan ibu bapa mereka untuk belajar dan berkongsi pengalaman mengenai cara terbaik untuk mengurus diabetes. Program lawatan luar dan kem diabetes secara berkala juga disusun, sementara glukometer dan strip ujian ada diberi percuma untuk kanak-kanak yang layak.
Keahlian kelab adalah percuma.
Diabetes jenis 2: Dalam kalangan kanak-kanak
Bagi Daniel, kisahnya pula berbeza dengan keadaan Siti. Daniel didiagnos menghidap diabetes ketika berusia 12 tahun selepas menjalani ujian darah rutin di sekolah. Dia tidak mempunyai apa apa simptom (dan ibu bapanya juga terkejut apabila diberitahu mengenai diagnosnya).
Petanda Permulaan
Diabetes jenis 2 secara klasikal, berlaku pada individu berumur 40 tahun ke atas. Tetapi, keadaan ini lebih kerap didapati pada orang muda - dalam usia 20-an hingga 30-an (dan ada semuda usia 4 hingga 6 tahun!). Kebanyakan mereka tidak tahu yang mereka menghidap diabetes (sehinggalah mereka menjalani ujian) seperti yang dilaporkan dalam Kaiian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017.
Tipikal bagi kanak-kanak menghidap diabetes jenis 2, Daniel adalah obes bagi usianya. Dia tidak aktif secara fizikal, menghabiskan sebahagian besar masa luangnya bersama I-pad atau bermain permainan video. Ibunya pula ada menghidapi diabetes semasa beliau mengandung dengan Daniel.
Penyebab
Diabetes jenis 2 juga dipengaruhi oleh faktor-faktor genetik dan alam sekitar (gaya hidup) (Jadual 2).
Sama seperti orang dewasa, diabetes jenis 2 pada kanak-kanak dianggap disebabkan oleh rintangan insulin, yang menjadi lebih teruk disebabkan berlebihan berat badan atau obesiti dan keadaan tidak aktif secara fizikal.
Jadual 2: Faktor-faktor Risiko Diabetes Jenis 2 Bagi Kanak- kanak
Positif sejarah diabetes pada ibu bapa; Ibu menghidap diabetes semasa mengandung (diabetes gestasi)
Berat semasa lahir rendah atau berat semasa lahir tinggi.
Berat badan berlebihan/Obes (disebabkan makan berlebihan)
Tidak aktif secara fizikal
Mempunyai tompok kulit gelap di leher, abdomen, siku (acantosis nigricans)
Berkait dengan sindrom ovari polisistik (kanak-kanak perempuan)
Mempunyai ciri-ciri rintangan insulin lain, umpamanya, tekanan darah tinggi dan tahap kolesterol tidak normal.
Rawatan
Berbeza dengan jenis 1, diabetes jenis 2 dalam kalangan kanak-kanak paling kerap boleh diuruskan dengan pelarasan gaya hidup termasuklah menghadkan pengambilan makanan, meningkatkan aktiviti fizikal dan melakukan senaman secara berkala selain mengurangkan berat badan berlebihan.
Ejen anti-diabetik oral seperti metformin atau sulfonylurea boleh dipreskripsikan oleh doktor jika pelarasan gaya hidup tidak mencukupi untuk mengawal glukosa darah (ke tahap normal).
Ubat-ubat untuk menurunkan kadar kolesterol dan tekanan darah tinggi juga diberi, jika diperlukan, bagi mengurangkan komplikasi terutama pada jantung dan buah pinggang.
Mengurangkan risiko diabetes pada anak kita
Walaupun pada masa ini tidak ada cara yang berkesan untuk mencegah diabetes jenis 1 untuk anak-anak, kita masih boleh mengambil langkah untuk mengurangkan risikonya. Seperti yang ditunjukkan oleh kajian-kajian bahawa risiko menghidapi diabetes meningkat dengan awal memberi susu botol (susu lembu) atau memasukkan makanan pepejal dalam diet. Justeru itu, kita mungkin mahu menggalakkan penyusuan ibu kepada anak-anak kita (dan untuk tempoh yang lebih lama, sebelum memberi makanan pepejal).
Bagi diabetes jenis 2, penyelesaian masalah dilihat lebih jelas: kita perlu memastikan anak-anak kita mengambil diet yang sihat dan seimbang dan sentiasa aktif secara fizikal. Kita tidak sepatutnya memberi makanan berlebihan kepada anak-anak sehinggalah mereka menjadi obes atau mempunyai berat badan berlebihan.
Kepercayaan bahawa ‘bayi montel adalah bayi yang sihat’ harus disingkirkan kerana bayi yang ‘gemuk’ terbukti akan menjadi remaja yang gemuk dan orang dewasa yang obes. Dan, obesiti adalah satu faktor risiko yang kuat untuk menghidapi diabetes dan penyakit kronik lain.
Kajian menunjukkan bahawa kesihatan (metabolik) bayi ditentukan dari masa dia berada dalam rahim. Oleh itu, adalah penting bagi wanita yang hamil (atau bercadang untuk hamil) mengamalkan gaya hidup sihat dengan memberi perhatian kepada pengambilan nutrisi yang sihat dan seimbang, aktif secara fizikal (dan mengelak tabiat tidak sihat seperti merokok atau minum alkohol).
Anda perlu melakukan semua ini demi bayi anda yang belum lahir bagi mengelaknya daripada menghidapi penyakit kronik termasuk diabetes. Anda boleh melakukannya, Insya-ALLAH.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!