4,400 pemain industri bincang hala tuju pelancongan pasca Covid-19

Amirudin (dua dari kanan) dan Loy Sian melawat Konvensyen Global Tourism Selangor 2021 di Petaling Jaya pada Jumaat.
Amirudin (dua dari kanan) dan Loy Sian melawat Konvensyen Global Tourism Selangor 2021 di Petaling Jaya pada Jumaat.
A
A
A

PETALING JAYA - Konvensyen Global Tourism Selangor 2021 (TSGC2021) yang dianjurkan Tourism Selangor menghimpunkan seramai 4,400 pemain industri pelancongan secara hibrid untuk berbincang mengenai hala tuju bidang tersebut pada era pasca pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, konvensyen yang julung kali diadakan dengan tema 'Game Changer, Reset Tourism' itu bertujuan untuk memacu semula ekonomi industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, acara yang diadakan selama dua hari pada Jumaat dan Sabtu di Hotel New World di sini meliputi pelbagai topik perbincangan seperti pelancongan digital 4.0, e-dagang, inovasi dalam kelangsungan ekonomi pelancongan dan lain-lain.

"Kita menyasarkan kepada semua penggiat industri yang terkesan bagi memulakan semula industri pelancongan melalui perbincangan untuk mengharungi industri tesebut dalam era pandemik Covid-19.

"Pelbagai topik dibincangkan dalam bidang pelancongan bersama penceramah-penceramah jemputan yang terdiri daripada selebriti dan pempengaruh terkenal," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Azrul Shah berkata, Tourism Selangor sentiasa memperjuangkan nasib pemain industri pelancongan di Malaysia khususnya di Selangor.

Beliau berkata, pihaknya mengadakan pelbagai inisiatif lain untuk membantu pemain industri pelancongan di Selangor seperti program baucar pelancongan, geran pemulihan dan pelancaran aplikasi Go Selangor bagi merancakkan ekonomi bidang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Azrul Shah ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Azrul Shah ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

"Sebelum ini, Tourism Selangor menganjurkan program baucar pelancongan yang mana sebanyak 10,000 unit baucar bernilai RM100 diberikan kepada rakyat Malaysia untuk melawat tempat-tempat menarik di Selangor yang disalurkan melalui e-dompet dalam aplikasi Shopee.

"Kita juga melancarkan aplikasi Go Selangor, yang mana pengguna boleh menempah tiket-tiket taman tema, premis inap desa (homestay), hotel dan pelbagai destinasi percutian di Selangor.

"Rancangan kita untuk mendigitalisasikan industri pelancongan dan membantu penggiat pelancongan seperti pemandu pelancong, pengusaha inap desa, hotel dan taman tema serta agensi pelancongan," jelas beliau.

TSGC2021 dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sambil disaksikan oleh Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, sebanyak RM114.6 juta diperuntukan menerusi Belanjawan Selangor 2022 bermula tahun ini sehingga 2025 untuk memacu semula pelbagai industri termasuk bidang pelancongan di negeri tersebut yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ujarnya, peruntukan tersebut meliputi geran pemulihan untuk pemain-pemain industri, kempen promosi 'Pusing Selangor' dan 'Splendid Selangor', persediaan keselamatan prosedur operasi standard (SOP) untuk pengunjung yang datang ke Selangor, penganjuran TSGC2022 dan pembangunan infrastruktur pelancongan.

"Kini setelah program vaksinasi berjaya, kita menyambung semula rancangan untuk merancakkan industri pelancongan menerusi penganjuran konvensyen ini dengan menjemput pelbagai pemain industri daripada pelbagai bidang untuk berbincang.

"Ini adalah inisiatif untuk memacu semula industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik dan meningkatkan jumlah pelancong ke negeri ini," katanya ketika sidang akhbar di sini.

Beliau berkata, konvensyen tersebut turut membincangkan cara industri tersebut perlu berdiri sendiri, bertahan dalam keadaan pandemik dan mampu menampung kemungkinan peningkatan pengunjung ke Selangor apabila sempadan antarabangsa dibuka kelak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!