PRN Sarawak: 17,885 kertas undi pos dikeluarkan
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan sebanyak 17,885 kertas undi pos telah dikeluarkan kepada yang berhak untuk mengundi secara pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos pada 8 hingga 10 Disember 2021 dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di semua 82 kawasan DUN.
Menurutnya, kesemua kertas undi pos tersebut terdiri daripada 16,728 kategori Borang 1A (petugas pilihan raya, ahli /pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media).
“Sebanyak 365 undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), 679 kategori Borang 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) dan 113 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, proses pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.
Sementara itu, SPR turut mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) sebelum mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5 petang pada hari mengundi, 18 Disember ini.
“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakamkan gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!