Jangan normalisasikan penceraian
IPOH - Penceraian dalam perkahwinan adalah satu perbuatan yang tidak perlu diraikan dengan kegembiraan, apatah lagi gurauan, kata Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.
Beliau berkata, sekiranya perkara itu dijadikan bahan gurauan dan dipertontonkan pula kepada umum, ia memberi gambaran seperti menormalisasikan penceraian.
Menurutnya, walaupun penceraian tidak dilarang dalam Islam dan dibolehkan untuk situasi tertentu, namun ia adalah satu perbuatan yang tidak disukai ALLAH.
"Ia adalah perbuatan yang tidak perlu diraikan dengan kegembiraan yang dipamerkan kepada orang lain.
"Jika dijadikan bahan gurauan, seperti menormalisasikan penceraian, walhal ia berlawanan dengan maqasid syariah dalam perkahwinan itu sendiri," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Pada Khamis, tular satu video di media sosial memaparkan pasangan suami isteri berjoget di hadapan pejabat agama selepas disahkan bercerai.
Video berdurasi 14 saat itu memaparkan seorang wanita menari bersama bekas suami di hadapan Kompleks Pentadbiran Agama Islam, Teluk Intan sebaik bergelar janda.
Tindakan kedua-dua individu terbabit bagaimanapun mengundang rasa kurang senang orang ramai yang menganggap ia satu tindakan tidak beradab serta memalukan diri.
Sementara itu, Zamri berkata, Islam memandang tinggi institusi kekeluargaan sebagai komponen penting dalam proses pembentukan masyarakat, seterusnya negara.
Justeru, katanya, perceraian harus dianggap sebagai jalan dan langkah terakhir diambil pasangan suami isteri untuk menyelesaikan masalah rumah tangga dihadapi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!