JaminKerja ‘sinar baharu’ buat belia

No Image Caption
A
A
A

Kerajaan memberi jaminan penyediaan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion

SHAH ALAM – Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dalam Bajet 2022 membantu rakyat khususnya golongan belia mendapat pekerjaan semasa pandemik Covid-19 ini.

Menerusi inisiatif itu, kerajaan memberi jaminan penyediaan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion, sekali gus memberi ‘sinar baharu’ kepada individu yang masih tercari-cari peluang pekerjaan.

Selain itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui insentif penggajian JaminKerja dengan sasaran 300,000 orang dan peruntukan sebanyak RM2 bilion.

Selanjutnya, inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme atau MySTEP akan diteruskan dengan menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mulai Januari tahun depan.

Tidak terhenti di situ, inisiatif itu turut menyasarkan 220,000 pelatih menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan peruntukan keseluruhan RM1.1 bilion, yang mana pelaksanaannya membabitkan program tempat dan latih iaitu latihan dengan jaminan pekerjaan.

Turut diwujudkan melalui inisiatif itu adalah program peningkatan kemahiran dengan kerjasama industri turut dipergiat dengan keutamaan kepada kemahiran digital, contohnya program Global Online Workforce (Glow) di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Inisiatif berkenaan turut menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan tumpuan seperti orang kurang upaya (OKU), orang Asli dan banduan dengan pembabitan pelbagai agensi berkaitan antaranya Majlis Pembangunan Sumber Manusia (HRDC), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan MDEC.

Justeru, dengan tawaran inisiatif yang diperkenalkan itu, golongan pencari kerja khususnya belia perlu memanfaatkan peluang tersebut untuk menempatkan diri dalam pelbagai peluang dan bidang pekerjaan yang ditawarkan termasuk sektor pelancongan dan ekonomi gig.

Artikel Berkaitan:

Melihat akan perancangan rapi kerajaan bagi program JaminKerja itu, jelas bahawa tawaran peluang pekerjaan menjadi antara fokus kerajaan demi kesejahteraan rakyat yang cuba bangkit kembali selepas berdepan kesukaran akibat pandemik Covid-19.

Dr Ahmed Razman
Dr Ahmed Razman

Menurut penganalisis ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, inisiatif yang diperkenalkan itu dilihat tepat pada masanya untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia khususnya golongan belia.

Ini kerana, isu membabitkan pekerjaan dalam kalangan belia disebabkan tiada kerja atau peluang pekerjaan tidak banyak diwujudkan.

Jelasnya, ia bersandarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) secara berkala.

"Kalau kita tengok, kadar pengangguran masih lagi tinggi iaitu 730,000 sedangkan peluang pekerjaan yang tersedia kira-kira 170,000. Jadi, isu pekerjaan dalam kalangan belia adalah disebabkan peluang kerja yang tidak banyak diwujudkan.

"Malah, kalau tengok kepada statistik DOSM setiap suku tahun pun, hanya lebih kurang 20,000 sahaja kerja baharu diwujudkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ujar Ahmed Razman lagi, masalah peluang pekerjaan yang tidak sepadan dengan kemahiran atau pengkhususan yang diambil graduan turut menyumbang kepada masalah ini.

Ditanya mengenai saluran yang belia perlu tahu untuk mencari kerja, beliau berkata, banyak platform dalam talian yang boleh diakses oleh golongan itu.

"Antara saluran atau platform paling popular bagi mereka yang mencari kerja adalah JobStreet, selain itu ada juga agensi atau kementerian yang membuka tawaran kerja.

"Bagi saya, saluran untuk mencari pekerjaan tidak menjadi masalah kepada golongan belia kerana rata-rata mereka kerap menggunakan media sosial dan sebagainya," katanya.

Muhammad Nasrul
Muhammad Nasrul

Sementara itu, salah seorang peserta program Penjana Kerja, Muhammad Nasrul Mohamed Noor berkata, bantuan latihan yang diterimanya dalam program berkenaan memberi manfaat yang begitu besar dalam meningkatkan lagi kemahiran.

Nasrul yang juga OKU berkata, latihan dalam bidang perbankan yang disertainya selama lapan bulan amat bermakna, selain menyifatkan ia satu usaha positif dilakukan kerajaan untuk turut memberi peluang sama rata buat golongan sepertinya.

“Selaku bekas peserta program latihan untuk Penjana Kerja, saya akui ia amat bermakna untuk kita meningkatkan kemahiran sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan sebenar.

“Namun, dalam masa yang sama, saya juga ingin mencadangkan supaya beberapa perkara dalam program ini perlu ditambah baik khususnya membabitkan peserta OKU,” katanya yang kini sedang menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Raja Gadafi
Raja Gadafi

Dalam pada itu, bagi seorang penghantar makanan, Raja Gadafi Raja Mat, bantuan yang diterimanya melalui peruntukan B40 banyak memberi manfaat dalam mengubah kerjayanya.

Katanya, kesukaran yang dihadapi ekoran pandemik Covid-19 banyak memberi kesan kepada ekonomi hidupnya, namun dengan pelbagai bantuan yang diumumkan kerajaan, ia membantunya membina kehidupan yang lebih baik.

“Alhamdulillah, dengan pelbagai bantuan yang diterima melalui peruntukan B40 ia telah banyak mengubah kehidupan saya dan diharap bantuan sebegini diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

No Image Caption

Program latihan dan peningkatan kemahiran:

Latihan dan peningkatan kemahiran

- HRDC- agensi (HRDC) sasaran - 36,000

- Koridor wilayah - agensi (Koridor) sasaran - 16,000

- PRUV-ATM - agensi (Perhebat) sasaran - 5,000

- SLDN Plus - agensi (JPK) sasaran - 10,000

- KPT-CAP - agensi (KPT) sasaran - 20,000

- KPT - PACE - agensi (KPT) sasaran - 45,000

- TVET Training (JPPKK) sasaran - 25,000

- MITI Reskiling - agensi (MITI) sasaran - 24,000

- MDEC - agensi (MDEC) sasaran - 12,000

- Upskiling for Deeptech and Future Skills -agensi (MOSTI) sasaran - 5,000

- Peneraju Skill dan Peneraju Teknologi -agensi (JPM) sasaran - 3,000

- Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri - agensi (FMSDC) sasaran - 5,000

- Perkasa TVET -agensi (PTPK) sasaran - 13,000

- Program Inkubator Graduan Kreatif - agensi (MyCreative Ventures) sasaran - 1,000

JUMLAH: 220,000

- Pelepasan cukai bagi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000 sehingga 2023

- Pelepasan cukai ke atas yuran kursus dengan mana-mana badan profesional yang diluluskan sehingga RM7,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!