Korban nahas treler di Mexico meningkat kepada 55 orang
MEXICO CITY - Jumlah migran Amerika Tengah yang maut dalam nahas treler di Chiapas, Mexico meningkat kepada 55 orang, kata Gabenor Rutilio Escandon pada Jumaat, lapor Xinhua.
Treler membawa lebih 150 pendatang tanpa izin itu terbalik kira-kira 3.30 petang waktu tempatan pada Khamis dalam satu kejadian di lebuh raya yang menghubungkan Tuxtla Gutierrez dengan bandar Chiapa de Corzo.
"Seorang lagi mangsa meninggal dunia hari ini," kata gabenor itu di Twitter.
Penyelaras Perlindungan Awam Mexico, Laura Velazquez Alzua yang berada di lokasi kejadian memberitahu akhbar tempatan, daripada 152 migran, seramai 73 cedera dan 24 lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador yang dukacita dengan kejadian itu berkata perlunya usaha untuk menangani punca penghijrahan besar-besaran untuk mengelakkan lebih banyak tragedi sama berulang.
Sementara itu, Menteri Luar Mexico, Marcelo Ebrard berkata, kementerian sedang berhubung dengan kerajaan negara asal migran tersebut termasuk Guatemala dan Ecuador serta beberapa lagi negara lain.
Pihak berkuasa berkata, nahas itu dipercayai berpunca daripada masalah teknikal menyebabkan trak terbabas dan melanggar tembok penghadang sebelum merempuh jambatan pejalan kaki. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!