Komuniti Penan di Lapok masih menanti bekalan air bersih
BARAM - Komuniti masyarakat Penan yang tinggal di beberapa rumah panjang di Lapok dalam daerah Baram, kira-kira 100 kilometer dari bandar Miri masih ternanti-nanti bekalan air bersih yang belum diterima.
Penghulu Kampung Tinjar Tengah, Larek Mat, 59, berkata, buat masa ini mereka hanya bergantung kepada air Sungai Tinjar untuk kegunaan harian seperti untuk mandi, bercucuk tanam dan mencuci pakaian.
“Untuk air minuman, kami terpaksa menadah air hujan ke dalam tangki yang disediakan. Air Sungai Tinjar ini tidak dapat diminum kerana ia tidak begitu bersih dan airnya keruh,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Ketua Rumah Panjang (Rh) Long Merigam, Paking Idoi, 60, berkata, projek bekalan air bersih ke kawasan penempatan mereka masih belum siap, dan beliau berharap pihak kerajaan dapat mempercepatkan projek itu agar semua penduduk dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih baik.
“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga banyak membantu kami dengan membekalkan air mineral dalam kotak semasa musim kemarau untuk kegunaan penduduk di sini,” katanya.
Tinjauan Bernama ke Rh Long Merigam yang mempunyai 32 pintu dan 185 penduduk di tepi Sungai Tinjar itu mendapati terdapat deretan tangki air di depan rumah berkenaan untuk menadah air hujan.
Paking Idoi berkata, beliau berharap kerajaan negeri akan memberi perhatian terhadap usaha menaik taraf jalan raya serta capaian internet di kawasan itu.
“Ketika ini jalan raya dari simpang jalan utama ke Rh kami (kira-kira 5 km) masih berbatu, agak berbahaya dan tidak berturap, saya harap kerajaan dapat menaik taraf dengan menurap jalan berkenaan. Selain itu diharapkan menara komunikasi yang ada di kampung ini dapat beroperasi secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Larek Mat berkata, komuniti Penan di kawasan itu menyokong penuh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam PRN Sarawak kali ini kerana menyedari kemampuan parti itu membawa kemajuan kepada seluruh masyarakat di Sarawak.
“Kami masyarakat Penan ini masih kurang maju, banyak kekurangan. Jadi dengan menyokong GPS saya berharap kemajuan yang dirancang untuk penduduk di sini dapat dilaksanakan, kerana kami inginkan pembangunan yang berterusan,” tambahnya.
DUN Marudi akan menyaksikan saingan lima penjuru dengan penyandang Datuk Dr Penguang Manggil daripada GPS dicabar oleh Elias Lipi Mat (PKR), Sawing Kedit daripada Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Gilbert Young daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Datuk Sylvester Entri Muran daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Pada PRN Sarawak ke-11, Dr Penguang yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 1,387 undi. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!