Tingkat penguatkuasaan disiplin sekolah asrama

Video yang tular menunjukkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain di dalam asrama. Foto kecil: Lee Lam Thye
Video yang tular menunjukkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain di dalam asrama. Foto kecil: Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Penguatkuasaan disiplin perlu dipertingkatkan di semua sekolah asrama bagi membendung perbuatan membuli dalam kalangan pelajar.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perbuatan buli berbentuk ganas dan mendera fizikal mangsa dalam kalangan pelajar adalah sangat serius dan perlu ditangani oleh semua pihak.

“Sekolah tidak boleh menutup salah laku sebegini atas sebab ingin menjaga nama baik semata-mata.

“Menjaga nyawa adalah lebih penting daripada menjaga nama baik. Nama baik sekolah boleh dibersihkan jika dicemari, tetapi nyawa pelajar yang hilang takkan dapat diganti,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebuah video pelajar menumbuk seorang pelajar lain dipercayai di dalam asrama tular di media sosial pada Khamis.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, langkah penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat perlu dilaksanakan bagi menghapuskan budaya buli dalam pemikiran pelajar.

“Pastikan pembuli diberi balasan setimpal dengan kelakuan mereka. Ini untuk mewujudkan pengajaran yang berkesan.

“Kedua, boleh menghantar pembuli untuk ke program kaunseling. Program sebegini dapat melahirkan kesedaran terhadap pembuli untuk lebih memahami bagaimana perasaan menjadi orang yang lemah dan berisiko dibuli.

Artikel Berkaitan:

“Ini dapat menyedarkan mereka tentang perasaan dan ketakutan dibuli,” katanya.

Tambahnya, perbuatan tersebut turut memberi kesan yang berpanjangan kepada mangsa buli.

“Walaupun buli di sekolah pada keseluruhannya tidak sampai ke tahap meragut nyawa, ia tetap meragut kesihatan mental dan keyakinan diri yang ada dalam manusia dan kesan trauma sebegini akan dirasai selama-selamanya.

“Tidakkah kita semua bersalah sekiranya sengaja membiarkan buli ditutup sebelah mata?” Soalnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!