OKU mental bangkit, cari rezeki berniaga di Shopee

Mohd Hafiz menunjukkan baju yang dijualnya menerusi aplikasi dalam talian semasa ditemui di sini. - Foto Bernama
Mohd Hafiz menunjukkan baju yang dijualnya menerusi aplikasi dalam talian semasa ditemui di sini. - Foto Bernama
A
A
A

DUNGUN - Bergelar usahawan bukan mudah bagi individu menghadapi masalah kesihatan mental, namun Mohd Hafiz Almuhaimi Mohd Halim membuktikan dirinya boleh berjaya dalam bidang perniagaan.

Mohd Hafiz Almuhaimi, 31, yang didiagnosis sebagai penghidap Bipolar Disorder menceburi perniagaan pakaian sejak tahun 2017 dan jualan tertinggi diperolehnya pada Ramadan 2018 dengan jumlah RM100,000.

"Adat berniaga ada untung ada rugi namun saya berjaya harungi pelbagai cabaran selama ini berkat sokongan keluarga, rakan niaga, isteri, Siti Naimah Sidi Ahmad, 29 dan demi tanggungjawab membesarkan anak tersayang, Nur Huwaina yang berusia satu tahun lapan bulan.

"Kini, saya semakin serius menjual baju T di platform Shopee dengan pendapatan bulanan bersih hampir RM4,000. Alhamdulillah, jumlah itu cukup untuk saya menyara keluarga setakat ini walaupun ada kekangan kesihatan," katanya ketika ditemui pemberita di Dungun baru-baru ini.

Empat hari lepas, Mohd Hafiz Almuhaimi membuat hantaran di laman Facebooknya meminta agar orang ramai memberi sokongan kepada usahawan dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) sepertinya, yang kemudiannya tular serta mendapat reaksi positif dengan lebih 13,000 tanda suka, 774 komen dan 2,100 perkongsian setakat 10 malam Jumaat.

Orang ramai melahirkan kekaguman terhadap kecekalan Mohd Hafiz Almuhaimi hingga mampu berdikari dan memiliki keluarga sendiri sama seperti individu normal lain.

Mengimbas detik hitam mengubah kehidupannya, Mohd Hafiz Almuhaimi berkata, dia mendengar bisikan suara ketika di Tingkatan Lima dan sejak itu mula mendapatkan rawatan mental di Hospital Permai, Tampoi di Johor serta wad psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

"Memang saya tidak boleh fokus terhadap pelajaran ketika itu kerana masalah kesihatan mental dan gangguan emosi yang berterusan, terpaksa keluar masuk hospital. Namun rezeki ALLAH, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya sangat cemerlang dengan 7A, 3B dan 2C.

Artikel Berkaitan:

"Saya mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dan Institut Pendidikan Guru (IPG). Saya memilih ke IPG namun lokasinya pula jauh di Kedah menyebabkan saya membatalkan hasrat kerana bimbang dengan keadaan diri yang masih tidak pulih sepenuhnya. Jadi, saya bekerja dahulu untuk mencari pengalaman," kata anak keenam dari tujuh beradik itu.

Akur dengan permintaan ibu bapa yang ingin melihat dirinya bergelar seorang pendidik, pada tahun 2018, Mohd Hafiz Almuhaimi sekali lagi memohon ke IPG dan kali ini kampus di Batu Rakit, Kuala Nerus yang terletak kira-kira 90 kilometer dari rumahnya di Bandar Dungun.

Sepanjang belajar di IPG itu, serangan penyakit tetap berlaku dan dia bergantung sepenuhnya kepada sesi terapi dan ubat-ubatan mengikut jadual ditetapkan pihak hospital hingga tamat pengajian pada tahun 2014 dan ditugaskan mengajar untuk kali pertama di sebuah sekolah di Sarikei, Sarawak pada tahun 2015.

Mohd Hafiz Almuhaimi (kanan) berbincang mengenai rekaan baju terkini bersama pembekal Wan Hazmin Wan Osman sebelum menjualnya menerusi aplikasi dalam talian semasa ditemui. - Foto Bernama
Mohd Hafiz Almuhaimi (kanan) berbincang mengenai rekaan baju terkini bersama pembekal Wan Hazmin Wan Osman sebelum menjualnya menerusi aplikasi dalam talian semasa ditemui. - Foto Bernama

Apakan daya, serangan penyakit tanpa henti menyebabkan Mohd Hafiz Almuhaimi terpaksa berulang-alik ke Tampoi, Johor untuk mendapatkan rawatan mental hingga dia ditamatkan perkhidmatan sebagai guru kerana dikategorikan tidak lagi layak mengajar.

Meskipun sangat kecewa, dia tetap reda dengan keputusan itu dan pulang ke Dungun serta kembali bekerja membantu abangnya di kantin sekolah serta kilang memproses tong gas sebelum mula berjinak dalam perniagaan menjual baju T.

Dirinya sangat bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan keluarga untuk membuka kedai pakaian pada tahun 2018 dan jualannya terus melonjak hingga enam angka pada tahun 2019 sebelum merosot teruk pada Jun 2020 akibat kemelesetan ekonomi susulan pandemik Covid-19 hingga terpaksa 'gulung tikar'.

Kerugian teruk dialami menyebabkan penyakitnya kembali menyerang dan terpaksa 'berkampung' selama tiga minggu di hospital, namun Mohd Hafiz Almuhaimi bulatkan tekad untuk tidak terus hanyut melayan perasaan dan sepanjang tempoh itu perniagaan di Shopee diuruskan oleh isteri yang sangat memahami.

Kini, dia mampu tersenyum kerana penat lelahnya 'melawan emosi sendiri' semakin berhasil dan berharap insan senasib dengannya untuk bangkit berjuang melakukan yang terbaik dalam kehidupan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!