Empat kelab gergasi Eropah tagih khidmat Haaland
EJEN Erling Haaland, Mino Raiola menamakan Manchester City, Real Madrid, Barcelona dan Bayern Munich sebagai kelab berpotensi disertai penyerang sensasi Norway itu pada 2022.
Pemain berusia 21 tahun itu mempunyai kontrak dengan Dortmund sehingga 2024, tetapi jumlah 23 golnya dalam 20 perlawanan Liga Juara-Juara untuk Dortmund dan bekas kelab RB Salzburg menarik perhatian gergasi Eropah lain.
Terdapat klausa pelepasan, dilaporkan bernilai 80 juta euro (RM381.43 juta), dalam kontrak Haaland yang mula aktif pada 2022.
Malah Raiola memberitahu sebuah stesen penyiar Jerman bahawa Haaland berpeluang besar untuk meninggalkan kelab Bundesliga tersebut penghujung musim ini.
“Mungkin musim panas ini, mungkin musim panas selepasnya.
“Dia boleh dan akan mengambil langkah seterusnya. Bayern, Real Madrid, Barcelona, Manchester City - ini adalah kelab besar yang boleh dia pergi.
“Kami semua tahu apabila kami berpindah ke Borussia Dortmund peluang sebegini akan datang,” ujar Raiola.
Ejen dari Itali itu juga merancang berbincang bersama pemilik kelab Dortmund dalam tempoh beberapa bulan ini menambah: “Kami akan menyatakan idea kami dan mereka akan memberitahu kami idea mereka.”
Untuk rekod, Haaland menjadi pemain pertama dalam sejarah Bundesliga menjaringkan hatrik pada dalam penampilan sulung berdepan Augsburg pada Februari tahun lalu selepas diperkenalkan sebagai pemain gantian pada minit ke-56 setelah berhijrah dari RB Salzburg.
Dortmund, yang kini menduduki tempat kedua Bundesliga, tersingkir dari Liga Juara-Juara dalam tempoh lima minggu Haaland diketepikan baru-baru ini kerana masalah pinggul.
Kecederaan itu juga merugikan Norway, yang terlepas Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 apabila tewas 2-0 kepada Belanda bulan lalu selepas Haaland diketepikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!