Nilai kesepaduan sosial kunci kejayaan pembinaan Keluarga Malaysia
KUALA LUMPUR - Pengaruh ekstremisme ganas yang sering kali menggunakan naratif agama, etnik dan bangsa dalam penyebaran ideologi, boleh dikekang sekiranya semua pihak memainkan peranan dalam memupuk nilai kesepaduan sosial di dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob berkata, dalam konteks pencegahan terorisme dan ekstremisme ganas, naratif yang sering diketengahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab adalah naratif yang bertujuan untuk memecah-belahkan masyarakat dan melemahkan perpaduan negara.
“Jadi di sinilah letaknya peranan semua pihak untuk menangkis naratif-naratif tersebut,” katanya ketika ucapan perasmian forum ‘Prinsip Kesepaduan Sosial dalam Membina Keluarga Malaysia: Realiti dan Cabaran’ sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Sabtu.
Forum tersebut anjuran Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) disertai tiga panelis termasuk Tan Sri Dr Jemilah Mahmood yang sebelum ini adalah Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kesepaduan sosial adalah indikator penting bagi mencerminkan situasi aman dan harmoni sesebuah komuniti. Elemen ini boleh diperhatikan melalui sikap toleransi dan sikap penerimaan terhadap isu-isu yang melibatkan hubungan antara agama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah SEARCCT, Datuk Ganeson Sivagurunathan berkata, salah satu cara terbaik untuk memastikan perpaduan dihayati dan dijiwai sepenuhnya, ialah melalui pendidikan dan penghayatan nilai kemanusiaan.
“Usaha-usaha mencegah terorisme dan ekstremisme bukan sahaja terletak di pihak berkuasa, malah langkah yang lebih menyeluruh untuk menanganinya memerlukan gabungan dan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan usaha-usaha tersebut lebih komprehensif, inklusif dan efisien,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!