Syarikat ternakan ayam mohon pekerja asing dibenarkan masuk

Mazlina (dua, kiri) bersama Pengasas dan Presiden Bismi Empire Sdn Bhd, Jaffri Ahmad (tengah) dan penceramah terkenal Kedah, Abdullah Din (dua, kanan) memegang ayam dijual bersempena program Happy Hour pada Majlis Cabutan Bertuah Ayam Bismi di Pusat Jualan Utama Ayam Bismi, Jalan Kangkong,Simpang Empat, pada Sabtu.
Mazlina (dua, kiri) bersama Pengasas dan Presiden Bismi Empire Sdn Bhd, Jaffri Ahmad (tengah) dan penceramah terkenal Kedah, Abdullah Din (dua, kanan) memegang ayam dijual bersempena program Happy Hour pada Majlis Cabutan Bertuah Ayam Bismi di Pusat Jualan Utama Ayam Bismi, Jalan Kangkong,Simpang Empat, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Syarikat penternakan, pemprosesan dan pengedaran, Urusan Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi) memohon kerajaan membenarkan kemasukan pekerja asing untuk bekerja di ladang ayam yang kini berdepan isu kekurangan pekerja kritikal.

Pengarah Urusan Ayam Bismi, Mazlina Kamarudin memberitahu selain kenaikan makanan ayam, faktor lain yang turut menyumbang kenaikan harga ayam adalah isu kekurangan buruh asing di sektor penternakan.

Mazlina memberitahu, pihaknya memohon supaya kemasukan pekerja asing untuk ladang ayam itu dibuka bagi membolehkan hasil bekalan ayam segar dapat dipulihkan segera.

"Sekarang, kita mengalami masalah kekurangan buruh asing di ladang ayam. Kita boleh ambil penduduk tempatan bekerja di kilang namun ladang masih memerlukan pekerja asing.

"Di Bismi sendiri, kami sendiri terpaksa mengurangkan kemasukan ayam disebabkan banyak buruh asing telah pulang ke negara masing-masing," katanya kepada pemberita selepas Majlis Cabutan Bertuah Ayam Bismi Tahun 2021 di Pusat Jualan Utama Ayam Bismi, Jalan Kangkong, Simpang Empat di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengasas dan Presiden Bismi Empire Sdn Bhd, Jaffri Ahmad dan penceramah terkenal dari Kedah, Abdullah Din.

Kata Mazlina, terdapat banyak syarikat terpaksa melakukan perkara sama dengan mengurangkan kemasukan ayam disebabkan isu kekurangan pekerja di ladang ternakan.

"Kami sendiri mempunyai 120 pekerja asing bekerja di ladang Ayam Bismi daripada keseluruhan lebih 400 pekerja di negeri ini untuk menternak kira-kira dua juta ayam,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pekerja asing yang melakukan kerja-kerja berat dan kotor memerlukan mereka berada di ladang, mengambil ayam di awal pagi sehinggalah tidak boleh pulang ke rumah yang mana tidak mampu dilakukan pekerja tempatan.

Sehubungan itu, beliau melahirkan kebimbangan harga ayam segar tidak akan turun sekiranya isu kekurangan buruh asing tidak diberi perhatian oleh kerajaan, sekali gus ditangani segera.

Bagaimanapun, katanya, Ayam Bismi tetap menjual menjual ayam segar pada harga di bawah kos iaitu RM6.98 sekilogram melalui pelbagai inisiatif termasuklah jualan 'Happy Hour' bersempena majlis cabutan bertuah.

Katanya, jualan 1,000 ekor ayam disediakan bermula jam 9.30 pagi hingga 11 pagi kepada pengunjung dengan had dua ekor setiap keluarga bagi membolehkan lebih ramai masyarakat menerima manfaat tersebut.

"Bukan hanya perniagaan tetapi ini juga dakwah kerana Ayam Bismi juga peneraju produk halal dan berusaha mendidik masyarakat mencari halal toyyiban," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!