Persenda OKU: Empat individu dipanggil beri keterangan
KUALA LUMPUR - Empat individu dipercayai terlibat dalam dua video berasingan yang tular di media sosial sejak Rabu lepas kerana mempersendakan golongan orang kurang upaya (OKU), dijangka hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua suspek berjaya dihubungi oleh pegawai penyiasat pada Jumaat berhubung video tersebut.
“Mereka akan hadir untuk dirakam percakapan petang ini,” katanya ringkas kepada Bernama pada Sabtu.
Kes terbabit diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan penggunaan media sosial secara tidak wajar.
Khamis lepas, Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang mempersendakan golongan OKU, walaupun mereka telah memohon maaf secara terbuka.
Sebelum ini, tular di media sosial dua lelaki menggunakan tempat meletak kereta khas untuk OKU di sebuah pusat beli-belah dengan menyamar sebagai OKU untuk menggunakan parkir berkenaan.
Selain itu, dua wanita yang merupakan penunggang basikal mengambil kesempatan menggunakan tandas OKU dengan membuat pergerakan yang mempersendakan golongan tersebut. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN Persenda OKU: Laporan polis untuk elak insiden berulang
Polis kesan individu persenda OKU dalam media sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!