Speedy Tigers tidak sertai Kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia

Shamala
Shamala
A
A
A

MALANG menimpa skuad Speedy Tigers apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Lelaki 2021 di Dhaka, Bangladesh yang dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 22 Disember ini.

Menurut Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Dr. S Shamala, penarikan diri saat akhir skuad kendalian Arul Selvaraj itu selepas seorang pemain Speedy Tigers disahkan positif Covid-19.

Menurut beliau, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), skuad hoki lelaki kebangsaan perlu menjalani kuarantin kendiri bermula 8 hingga 14 Disember jika mahu berlepas ke Dhaka, sekali gus akan memberi kesan kepada tarikh kejohanan.

“Keputusan ini juga setelah mendapat nasihat dan pandangan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan kementerian bertanggungjawab.

“Demi menjaga keselamatan semua pihak serta mengambil berat di atas nasihat yang diberikan, skuad hoki lelaki kebangsaan terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir bagi kejohanan ACT di Dhaka.

“Pihak KHM juga berharap agar para penyokong memberi sokongan dan mendoakan kesejahteraan pemain dan pegawai pasukan,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Sabtu.

Sebelum ini, nasib sama turut menimpa Malaysian Tigress terpaksa berputih mata apabila penganjur tidak membenarkan skuad wanita negara turun menentang China pada saingan Kejuaraan ACT 2021 di Donghae, Korea Selatan.

Ia susulan seorang daripada pemain negara Nurul Faezah Shafiqah Khalim disahkan positif Covid-19 ujian calitan ketika ketibaan pasukan pada 29 November lalu, yang menyebabkan seluruh pasukan negara dikuarantin sejak 1 Disember.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu tambah Shamala, meskipun tidak menyertai kejohanan tersebut, Speedy Tigers akan meneruskan sesi latihan selepas tamat tempoh kuarantin dan akan memberikan fokus sepenuhnya kepada Kejuaraan Piala Asia 2022 yang dijadualkan akan berlangsung pada awal 2022.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!