‘Jangan pergi umrah sendiri’

Razali (kiri) menasihatkan bakal jemaah umrah mendaftar dengan agensi berdaftar.
Razali (kiri) menasihatkan bakal jemaah umrah mendaftar dengan agensi berdaftar.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh) melarang rakyat Malaysia supaya tidak mengatur sendiri (DIY) urusan mengerjakan umrah, sebaliknya perlu melalui agensi pelancongan berdaftar.

Presiden Papuh, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, nasihat itu juga bagi mengelakkan individu berkenaan ditangkap pihak berkuasa Arab Saudi jika tidak mengikut prosedur.

“Jika ikut prosedur negara itu, untuk mendapatkan visa, individu berkenaan perlu ada maklumat berkaitan hotel, muassasah di sana dan pengangkutan,” katanya.

Razali memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan individu yang mengerjakan umrah DIY tidak menggunakan visa umrah.

“Mereka mungkin guna visa ziarah, transit, pelancong atau perniagaan. Sebab itu selalu ‘sangkut’ dengan pihak berkuasa di sana.

“Saya sarankan mereka yang mahu mengerjakan umrah mendapatkan visa daripada agensi pelancongan berdaftar dengan kementerian dan disahkan sebagai rakan muassasah kepada Kedutaan Arab Saudi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Seminar Pemasaran Global di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini, semalam.

Seminar itu merupakan kerjasama MalaysiaPass dan Papuh dalam memperkasakan industri pelancongan.

Turut hadir, Pengerusi MalaysiaPass, Mohd Fauzilan Mat Nor dan Presiden Malaysiapass Mahalil Fahmi Abdul Malek.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Fauzilan berkata, MalaysiaPass Digital Tourism Academy membantu industri pelancongan memastikan agensi tempatan bersedia menghadapi revolusi pemasaran digital.

“Tumpuan kita adalah mahu memperbaiki dan memperkasakan industri pelancongan melalui penyelesaian digital, melalui usahasama dengan Papuh dalam mengadakan bengkel, seminar dan persidangan berkaitan adaptasi teknologi digital.

“Kami harap penggiat industri mengambil kesempatan ini dalam memperkasakan perniagaan mereka agar terus berkembang seiring teknologi dan pasaran sedia ada," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!