Apa itu wartawan al-Quran?
APABILA pengarang Inggeris Edward Bulwer-Lytton mencipta madah, The pen is mightier than the sword, atau dalam adaptasi kita ‘mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang,’ beliau tidak tahu selepas pen, ada satu lagi medium yang lebih tajam daripada pena. Alat itu adalah keyboard atau papan kekunci.
Pada waktu dahulu, bukan semua orang punyai kebolehan menulis. Kalangan buta huruf pun ramai. Hanya mereka yang boleh menulis sahaja mempunyai pena sebagai senjata yang lebih tajam daripada mata pedang. Mereka karya kreatif novel, cerpen, puisi dan teater untuk menyindir, menyerang dan membela yang tertindas hingga mendapat keadilan. Penulis-penulis tanah air kita turut menggoyang penjajah melalui tulisan.
Namun kini, keyboard yang lebih tajam dari mata pena boleh dimiliki oleh hampir semua orang. Tambahan pula, keyboard juga ada di telefon pintar. Seolah-olah, senjata ini di tangan sesiapa sahaja. Yang tak berapa mahir menulis pun boleh menulis apa sahaja. Media sosial dan blog menyediakan platform itu. Tulisan-tulisan itu boleh ditatap oleh sesiapa sahaja tanpa tapisan.
Bayangkan sekarang, kita punyai jutaan manusia yang punyai senjata yang lebih tajam daripada pena! Now, everybody can write! Jika mata pena lebih tajam dari mata pedang, dan keyboard lebih tajam daripada pena, ertinya senjata ini mampu melukakan sesiapa sahaja. Memang jelas, tulisan-tulisan pada hari ini telah memporak-perandakan dan menghuru-harakan.
Tulisan sebenarnya adalah medium komunikasi massa. Seseorang yang mahu menulis sesuatu kepada orang lain sama ada dalam bentuk berita atau cerita lazimnya harus melalui sebuah proses pendidikan formal. Segala teknik, teori dan etika penulisan dipelajari hingga seseorang itu memperoleh kelayakan. Inilah proses yang harus dilalui oleh seseorang kewartawanan iaitu seorang penyampai melalui medium penulisan.
Dahulu, yang tidak melalui proses pendidikan formal tetapi ingin menulis pula tidak berani pandai-pandai menulis ikut suka. Malah secara informal, mereka yang meminati penulisan akan cuba mengikut jalur formaliti ilmiah agar tulisannya tidak melanggar norma masyarakat. Seboleh mungkin mereka akan belajar daripada mereka yang berpengalaman dan berkelulusan supaya hasil tulisannya diterima khalayak pembaca arus perdana.
Kini, di platform media sosial, sesiapa sahaja boleh menulis tanpa melalui apa-apa proses formal penulisan. Maka terjadilah pelbagai pelanggaran ejaan, nahu, tatabahasa, perbendaharaan kata, keceloparan, fitnah, auta, penceritaan berat sebelah yang dilakukan oleh sesiapa sahaja.
Hal ini masih berlaku dengan sebebas-bebasnya sehinggakan mereka yang telah melalui proses penulisan formal pun boleh berasa dirinya old school seandainya tulisannya tidak ikut rentak yang huru-hara juga. Sehinggakan tidak keterlaluan jika dikatakan catatan yang tidak mengikut nilai etika penulisan itu jauh lebih banyak daripada tulisan yang tertib, beradab dan juga berisi. Seolah-olah alam siber yang diibaratkan sebagai dunia tanpa sempadan itu adalah dunia tanpa dosa!
Jika di dalam dunia penulisan di medium formal seperti akhbar, majalah dan media elektronik terdapat pemantauan penulisan yang beretika, di medium internet, tiada mana-mana badan yang mengatur jalur ketertiban dan etikanya. Kita sendiri tidak senang dengan kebebasan tanpa had ini.
Justeru, mesti ada pihak yang harus bangun dan mengambil inisiatif untuk memperbetulkan keadaan. Bukan sekadar melaporkan apa jua pelanggaran undang-undang kepada pihak berwajib, tetapi mengatur langkah-langkah dengan mengajak sesiapa sahaja yang mempunyai kebolehan menulis untuk membuat penjajaran sikap yang lebih teratur.
Baru-baru ini Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang terkenal dengan program Quran Hournya telah bereksperimen untuk membina apa yang dinamakan sebagai modul melahirkan Wartawan Al-Quran. Wartawan Al-Quran adalah individu yang menyampaikan tulisan yang menuruti kehendak al-Quran. Asasnya ialah menyampaikan sesuatu yang punyai nilai-nilai kebaikan yang akhirnya mempunyai kesan kebaikan kepada khalayak pembacanya.
Empat penyampai iaitu Datuk Abdul Jalil Ali, Penasihat Eksekutif Editorial, Kumpulan Media Karangkraf, Tuan Haji Amir Hassan, dari Denaihati Network; Norden Mohamed, mantan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian dan Fazrul Ismail, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas telah bergabung tenaga sebagai penyampai ilmu Wartawan Al-Quran kepada audiens yang terdiri daripada blogger, keyboard warrior, ghostwriter dan juga wartawan.
Sambutannya memberangsangkan dan para pesertanya memperoleh sudut pandang baharu dan segar dalam menggarap penulisan ke arah keberkatan. Mereka mahu lagi. Dan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas sudah pun merangka modul kursus yang berikut yang terbuka kepada sesiapa yang berminat. Program pertamanya akan diadakan pada bulan ini juga. Semoga kita semua menulis dengan memberi sedikit bekalan kepada khalayak pembaca di samping menyimpan bekalan juga untuk diri sendiri. Sama-samalah kita menggunakan keyboard yang lebih tajam dari mata pena itu untuk menjana segala kebaikan.
* Penulis ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!