Lidam boleh menang di Katibas: Nanta Linggi

Lidam Assan
Lidam Assan
A
A
A

SIBU - Meskipun pertama kali bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Lidam Assan dijangka mampu mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Katibas bagi pihak Gabungan Parti Sarawak-Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (GPS-PBB).

Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebagai muka baharu, Lidam telah menunjukkan kesungguhan dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan GPS di kawasan itu.

“Lidam telah bertemu dengan pengundi di Katibas dan (kehadiran beliau) menerima sambutan yang amat baik, amat memberangsangkan. Saya rasa beliau akan menang dengan mudah,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu kepada pemberita selepas melancarkan Program Segar@Mesra di Stesen Petronas Lanang Barat di sini pada Sabtu.

Nanta berkata Lidam, yang juga setiausaha politiknya telah melawat hampir semua kawasan di Katibas mewakili beliau untuk menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penduduk rumah panjang ketika Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Katanya, calon berusia 56 tahun dan berasal dari Nanga Tengadak itu merupakan individu yang amat dikenali oleh masyarakat di DUN Katibas.

Beliau berkata, kerajaan negeri Sarawak telah membawa banyak pembangunan ke Katibas namun kerja keras membangunkan kawasan itu terjejas apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pusat selepas Pilihan Raya Umum 2018.

“Ketika hampir dua tahun PH menjadi kerajaan di peringkat pusat, banyak benda telah dikurangkan dan di sini kerajaan negeri banyak menyalurkan projek pembangunan untuk rakyat.

“Di Katibas, kerajaan negeri Sarawak telah menyalurkan projek pembangunan menerusi Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA). Rakyat melihat jasa GPS, lebih-lebih lagi dalam tempoh dua tahun tersebut (ketika kerajaan pusat diperintah oleh PH),” kata Ahli Parlimen Kapit itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas permintaan Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju supaya GPS membenarkan beliau mempertahan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 atas tiket Bersatu, Nanta berkata, keputusan mengenai perkara itu terserah kepada perbincangan antara pucuk pimpinan GPS dan parti berkenaan.

Katanya, keputusan Ali mengundurkan diri daripada bertanding di kerusi DUN Krian membuktikan semangat setia kawan antara GPS dan Bersatu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!