PRN Sarawak: Calon berlumba dengan masa
KUCHING - Suruhanjaya Pilihan Malaysia (SPR) sudah bersiap sedia untuk menghantar kotak undi melalui pengangkutan darat, air dan udara ke 1,951 pusat mengundi di seluruh Sarawak ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 hari ini tiba di titik pertengahan.
Di sebalik kesukaran berkempen akibat prosedur operasi standard (SOP) oleh SPR bagi mengekang penularan Covid-19, dan berbaki enam hari sahaja, muka baharu dan penyandang dalam kalangan 349 calon semakin terdesak meraih undi di 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kini mereka berlumba dengan masa. Saya tahu ada muka baru belum turun ke kesemua tempat.
Selain bandar, terdapat 6,000 kampung dengan begitu banyak rumah panjang dan ini adalah tempat di mana sentuhan peribadi masih sangat bermakna,” kata Dr Jeniri Amir, Felo Kanan Majlis Profesor Negara.
Susulan larangan berkempen secara fizikal di kawasan bandar, maka calon beralih ke alam siber dengan menggunakan platform media sosial popular dan penstriman harian secara langsung untuk menyampaikan mesej dan menarik perhatian terhadap pencapaian dan selain menabur janji masing-masing.
Penganjuran ceramah atau syarahan secara fizikal secara terhad sepanjang tempoh berkempen hanya dibenarkan di 64 kawasan DUN yang tidak mempunyai capaian Internet yang tinggi.
Namun mengatur gerakan berkempen masih sukar di negeri Bumi Kenyalang dengan jumlah keluasan Sarawak merangkumi kira-kira 90 peratus daripada saiz Semenanjung Malaysia.
PRN12 akan menyaksikan kerajaan memerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) buat pertama kalinya bertanding atas tiket sendiri di kesemua 82 kerusi DUN selepas keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 2018.
Gabungan itu akan berdepan dengan sembilan parti pembangkang dan 30 calon Bebas dengan pencabar utama dijangka daripada DAP dan pendatang baharu, Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dipimpin oleh bekas menteri kabinet negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh.
Gabungan GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PDP).
K.C.Sim, seorang ahli perniagaan berpangkalan di Kuching, telah membuat keputusan mengenai siapa yang ingin dipilihnya.
“Sudah tentu, saya tahu siapa yang saya mahu undi...beberapa rakan saya masih tidak pasti. Saya fikir ada yang mungkin tidak mengundi, mereka kata sesiapa yang menang tidak ada kena-mengena dengan mereka,” katanya.
Jeniri, bekas pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), berpendapat bahawa ramai pengundi terutama masyarakat Cina telahpun membuat keputusan mereka.
“Tetapi mereka masih boleh mengubah pendirian bergantung sejauh mana kempen yang berkesan khusus di peringkat akar umbi. Masyarakat kampung adalah bersikap terus terang dan mudah dipengaruhi oleh kumpulan sembang dalam kalangan rakan-rakan dan saudara-mara,” katanya.
Walaupun media sosial adalah alat popular untuk calon di kawasan bandar, perkara yang sama tidak boleh dikatakan bagi pengundi di kampung dan rumah panjang kerana kedua-dua lokasi adalah berjauhan.
“Di kawasan seperti ini, seseorang tidak boleh memandang ringan kuasa media tradisional dan cara konvensional seperti mengedar risalah dari rumah ke rumah memandangkan pertemuan secara bersemuka berupaya menjadi pengaruh besar,” kata Jeniri.
Beliau berkata walaupun jentera pilihan raya GPS dan DAP bergerak dengan baik, PSB terbukti sangat agresif di lapangan kerana diketuai oleh beberapa ahli politik berpengalaman.
Pada 2016, empat parti komponen GPS memainkan peranan penting dalam menawan 72 daripada 82 kerusi manakala DAP menang tujuh kerusi manakala bakinya dimenangi oleh PKR.
Kali ini, GPS meletakkan calon di kesemua 82 kerusi, DAP (26) dan PSB bertanding di 70 kerusi.
Pengundian PRN12 akan berlangsung pada 18 Disember ini dengan pengundian awal pada 14 Disember. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!