Cabaran enam kementerian pacu prestasi

No Image Caption
A
A
A

DALAM siri ketiga, laporan khas 100 hari Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian-kementerian, Sinar Harian bersama dua badan penyelidik bebas, Ilham Centre dan O2 Research menilai prestasi enam lagi kementerian di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kementerian ini berada dalam prestasi sederhana dan memuaskan. Ini mungkin kerana kementerian tersebut sukar untuk menyudahkan semua program mega mereka alam tempoh 100 hari atau selain masih diduga cabaran pandemik.

Bagaimanapun, dengan banyak SOP yang telah dilonggarkan kerajaan, pelbagai program telah mula dilaksanakan dan kementerian-kementerian dijangka lebih agresif pada tahun depan.

KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA

Menteri: Tan Sri Annuar Musa (UMNO-BN)

Timbalan Menteri: Datuk Zahidi Zainul Abidin (UMNO-BN)

ILHAM CENTRE: Prestasi kementerian ini yang diterajui Annuar dilihat sedikit menyerlah berbanding sewaktu dipimpin menteri terdahulu, Datuk Saifuddin Abdullah.

Bagaimanapun, kementerian harus memperbaiki sistem penyampaian mesej kerajaan kepada rakyat yang dilihat kurang berkesan terutama pada saat krisis Covid-19 berlangsung.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif penggunaan media arus perdana sebagai platform penyampaian maklumat kerajaan juga adalah satu usaha yang baik.

Namun, kementerian harus mencari jalan untuk mengoptimumkan penggunaan media sosial bagi menjelaskan strategi dan hala tuju kerajaan kepada rakyat kerana platform itu dilihat lebih berpengaruh dan dekat dengan golongan muda.

Satu lagi masalah yang mungkin dihadapi kementerian adalah kecenderungan kementerian-kementerian lain mengamalkan mentaliti silo apabila mereka tidak mengongsikan maklumat penting berkaitan portfolio mereka untuk disampaikan kepada rakyat.

Annuar perlu mencari jalan untuk meningkatkan kerjasama antara kementerian-kementerian ini supaya setiap maklumat disampaikan adalah berfokus kepada golongan sasaran.

Selain itu, masalah liputan jalur lebar yang masih lemah terutama di kawasan luar bandar juga harus menjadi fokus kementerian untuk ditangani dengan segera.

RATING: 5/10

O2 RESEARCH: Kami memuji peranan besar yang dibawa Annuar ke dalam Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Selain mengamalkan polisi keterbukaan kepada pihak media untuk mendapatkan maklumat daripada kementerian, langkah pragmatik Annuar membenarkan saluran televisyen kerajaan digunakan oleh setiap parti bertanding pada PRN Melaka untuk berkempen juga wajar diberikan kredit.

Pada masa sama, Annuar dilihat proaktif dalam memberikan pencerahan terhadap mana-mana isu yang menimbulkan kegusaran rakyat.

Secara keseluruhan, kami berpendapat Annuar berjaya meneruskan kecemerlangan prestasi yang ditunjukkannya melalui Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum ini.

RATING: 7/10

KEMENTERIAN ALAM SEKITAR DAN AIR

Menteri: Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-PN)

Timbalan Menteri: Datuk Dr Mansor Othman (Bersatu-PN)

No Image Caption

ILHAM CENTRE: Bagi kami, prestasi keseluruhan kementerian ini adalah sederhana dengan menteri perlu menyelesaikan dengan lebih berkesan isu alam sekitar yang membelenggu negara sejak kebelakangan ini.

Dalam soal mendepani isu perubahan iklim yang menjadi kebimbangan penduduk dunia, Tuan Ibrahim perlu lebih agresif meskipun gimik penyampaian ucapannya pada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow dalam bahasa Melayu mendapat pujian melambung banyak pihak.

Selain itu, kementerian sepatutnya lebih tegas dalam menyelesaikan isu bekalan air bersih yang membelenggu negeri Kedah dan Kelantan sejak bertahun-tahun dahulu.

Ditambah dengan menteri dan juga ketua-ketua negeri berkenaan berasal daripada parti yang sama, kementerian sepatutnya mempunyai kelebihan untuk mencapai kata sepakat dalam mendapatkan kaedah penyelesaian tuntas.

RATING: 5/10

O2 RESEARCH: Secara peribadi, kami melihat tiada banyak kontroversi yang tercetus melibatkan kementerian ini.

Bagaimanapun, kementerian ini juga dilihat kurang menonjolkan gerak kerja yang substantif bagi menjustifikasi komitmen disuarakan menteri dalam menambah baik inisiatif-inisiatif penting berkaitan isu alam sekitar.

Menteri dan pasukan kementerian sepatutnya menjadi lebih proaktif dan agresif dalam meningkatkan usaha libat urus dengan setiap pemegang taruh yang berkaitan, terutama dalam menyelesaikan isu bekalan air bersih yang membelenggu banyak negeri termasuk Kedah dan Kelantan.

RATING: 6.5/10

KEMENTERIAN DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL SABAH DAN SARAWAK)

Menteri: Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili (PBS-GRS)

Timbalan Menteri: Datuk Hajar Hanifah (PBB-GPS)

No Image Caption

ILHAM CENTRE: Kementerian ini saya anggap sangat mencabar kerana pada saat kestabilan kerajaan Ismail Sabri menjadi persoalan, sokongan ahli-ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak amat penting kepada beliau.

Bagaimanapun, pembentangan Belanjawan 2022 dilihatsedikit mengecewakan majoriti ahli Parlimen daripada dua negeri kepulauan Borneo ini apabila peruntukan diberikan tidak begitu signifikan berbanding peruntukan kepada negeri-negeri Semenanjung.

Selain itu, Maximus Johnity perlu lebih berperanan meredakan ketegangan yang timbul di antara ahli-ahli pembangkang dan kerajaan susulan perdebatan isu ketidakadilan agihan peruntukan saksama kepada penduduk Sabah dan Sarawak yang panas di sidang Parlimen.

Apabila Belanjawan 2022 dilihat tidak memberi limpahan peruntukan setimpal kepada penduduk negeri Sabah dan Sarawak, justeru sentimen anti Semenanjung Malaysia atau lebih popular dipanggil 'anti Malaya' sudah timbul sebagaimana didedahkan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman.

Bagi kami, persoalan melibatkan hala tuju pembangunan negeri Sabah dan Sarawak perlu diangkat dalam satu konteks substantif dengan menteri perlu banyak melaksanakan libat urus serta mengeluarkan kenyataan yang menenangkan kegusaran ahli-ahli Parlimen dua negeri itu.

RATING: 4.5/10

O2 RESEARCH: Berkenaan isu peruntukan Sabah dan Sarawak melalui Belanjawan 2022, tidak nampak kementerian memberi reaksi balas sebaiknya.

Dari segi konteks ekonomi, negara lebih menfokuskan kepada usaha pemulihan ekonomi negara secara keseluruhan.

Jadi, ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak perlu memahami signifikasi penyaluran peruntukan dalam Belanjawan 2022 mengikut negeri tidak boleh terlalu terikat dengan komitmen mengaktifkan negeri-negeri tertentu.

Secara luaran, isu agihan peruntukan negeri yang dianggap tidak adil menjadi isu panas yang diperdebatkan dalam sidang Parlimen sejak kebelakangan ini selain persoalan mengenai sejauh mana komitmen kerajaan untuk menyempurnakan perjanjian MA63.

Namun, kami memberi pujian kepada menteri yang lebih bersikap tenang dalam menangani desakan ahli-ahli Parlimen pembangkang selain tidak mengeluarkan respons balas yang mungkin menambahkan lagi kebimbangan mereka.

RATING: 7/10

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Menteri: Datuk Seri Shahidan Kassim (UMNO-BN) dan Timbalan Menteri: Datuk Seri Jalaluddin Alias (UMNO-BN)

No Image Caption

ILHAM CENTRE: Secara peribadi, Shahidan yang kembali dilantik sebagai menteri dilihat agak bergelut untuk memenuhi 'benchmark' prestasi cemerlang yang ditonjolkan menteri terdahulu, Tan Sri Annuar Musa.

Dengan menggunakan pendekatan 'old school', Shahidan masih mencari rentak dalam 100 hari kebelakangan ini.

Situasi itu bebeza berbanding Annuar yang dianggap proaktif dan mempunyai sistem penyampaian media yang baik sewaktu memakmurkan tiga kawasan Wilayah Persekutuan pada saat negara terkekang dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, masih terlalu awal untuk mengatakan beliau tidak menunjukkan prestasi cemerlang.

Pada saat negara sudah memasuki fasa endemik dan ekonomi domestik berada dalam proses pemulihan, sama ada Shahidan akan melakukan sesuatu di luar jangkaan atau berterusan tenggelam di sebalik gerak kerja Annuar sebelum ini adalah terserah kepada diri beliau.

RATING: 5/10

O2 RESEARCH: Kami bersetuju peranan menteri agak tenggelam berbanding menteri terdahulu.

Shahidan juga tidak dilihat melakukan perubahan atau melaksanakan inisiatif baharu yang memberi impak kepada kesejahteraan penduduk di tiga kawasan Wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

Namun berbekalkan pengalaman luas sebagai Menteri Besar Perlis dan menteri kabinet sebelum ini, kami percaya beliau mampu melakukan sesuatu yang di luar jangka sebaik sahaja Ahli Parlimen Arau itu mula mendapat rentak.

RATING: 6.5/10

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

Menteri: Datuk Seri M Saravanan (MIC-BN)

Timbalan Menteri: Datuk Awang Hashim (PAS-PN)

ILHAM CENTRE: Bagi kami ini merupakan satu lagi kementerian yang mempunyai cabaran besar dalam waktu pandemik memandangkan ratusan ribu orang hilang kerja dan menganggur.

Bagaimanapun, dalam 100 hari ini, kementerian ini masih kurang ke hadapan dalam membela nasib pelbagai segmen pekerja yang terjejas sewaktu krisis pandemik Covid-19, termasuklah sektor ekonomi gig yang membabitkan pekerja penghantar makanan dan e-hailing.

Sedangkan isu-isu sebegini boleh diselesaikan secara diplomasi dengan kementerian mengambil peranan selaku orang tengah.

Selain itu, kementerian ini juga masih belum dapat memberikan unjuran tepat bilangan sebenar rakyat negara ini yang kehilangan pekerjaan akibat krisis pandemik Covid-19 sejak Mac 2020.

Setakat ini, tiada sebarang jawapan menyakinkan diberikan menteri atau timbalan menteri. Pada masa sama, terdapat pertikaian dalam kalangan majikan terhadap kaedah kementerian mengagihkan bantuan Program Subsidi Upah Pekerja yang didakwa tidak disalurkan secara menyeluruh.

Dalam hal ini, kementerian harus memperkemaskan lagi sistem pengagihan peruntukan bantuan dan memastikan majikan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diberikan tumpuan utama.

RATING: 4/10

O2 RESEARCH: Berkenaan kementerian ini, pertamanya kami melihat kekangan dihadapi kementerian memang ada.

Selain itu, cabaran kementerian ini sangat besar sewaktu krisis pandemik Covid-19 berlangsung kerana terdapat banyak isu berkaitan sumber manusia timbul disebabkan ketiadaan sumber tenaga kerja daripada luar.

Di sebalik desakan pelbagai pemain industri meminta kerajaan membenarkan semula kemasukan pekerja asing, perkara itu menimbulkan perdebatan dalam kalangan ahli Parlimen yang berpandangan peluang pekerjaan sepatutnya diutamakan kepada rakyat tempatan yang terkesan akibat Covid-19.

Dalam hal ini, kami melihat menteri memainkan peranan sebagai orang tengah dengan cukup baik dan percaya kementerian sedang meneliti kaedah terbaik untuk membawa masuk pekerja asing tanpa merisikokan sistem kesihatan negara.

Pada masa sama, menteri juga memainkan peranan positif dalam menawarkan pakej-pakej pekerjaan yang menarik kepada rakyat tempatan yang terpaksa kehilangan kerja sewaktu tempoh pandemik.

Melalui skim Jaminan Kerja sebagaimana dibentangkan dalam Belanjawan 2022, kementerian dilihat peka dengan keperluan kerajaan memastikan sumber tenaga kerja tempatan tidak dibazirkan begitu sahaja.

RATING: 7.5/10

KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN (KPKT)

Menteri: Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (UMNO-BN)

Timbalan Menteri: Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (UMNO-BN)

No Image Caption

ILHAM CENTRE: KPKT di bawah pimpinan bekas menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin dilihat agak menonjol.

Namun, apabila kementerian itu diambil alih oleh Reezal Merican, prestasi ditunjukkan beliau dalam tempoh 100 hari adalah sederhana.

Ia mungkin disebabkan kerana Zuraida memimpin KPKT dalam tempoh yang lama iaitu di bawah kerajaan Pakatan Harapan dan PN.

Pada kami, isu ini berkaitan dengan gaya kepimpinan menteri juga memainkan peranan sendiri apabila Zuraida dilihat agresif dalam melaksanakan pelbagai program yang memberi kelebihan liputan media kepadanya.

Selain itu, Zuraida juga tidak kekok untuk melaksanakan pelbagai 'stunt' politik bagi memastikan kementerian beliau dilihat progresif dalam melaksanakan setiap agenda pembangunan rakyat.

Reezal Merican pula belum menemui rentak, mungkin masih tercari-cari apa isu menarik yang boleh dimanfaatkan bagi melonjakkan kementeriannya.

Sebenarnya, Reezal Merican boleh menumpukan kepada aspek polisi perumahan rakyat di mana kementerian pernah membentangkan berlaku lambakan lot perumahan kos sederhana dan mewah yang tidak terjual di beberapa negeri.

Bagaimanapun, kajian agensi hartanah mendapati harga lot rumah yang dikatakan tidak terjual itu tidak menurun, sebaliknya transaksi pembelian rumah berkenaan difahamkan masih aktif.

Justeru, dakwaan itu mungkin kurang tepat, sebaliknya isu besar dihadapi rakyat ketika ini adalah kekurangan penawaran rumah mampu milik untuk dibeli golongan muda yang perlu diberi perhatian segera Reezal Merican.

RATING: 4/10

O2 RESEARCH: Setakat ini, KPKT belum menunjukkan sebarang inisiatif yang signifikan dengan keperluan rakyat melainkan pelancaran beberapa program perumahan mesra rakyat termasuk skim Rumah Keluarga Malaysia sebelum ini.

Bagaimanapun, Reezal Merican dilihat berjaya memainkan peranan sebagai seorang menteri dengan baik dalam masa singkat, meskipun masih ramai yang ragu-ragu dengan keupayaan beliau untuk mengemudi KPKT.

Kami yakin Reezal Merican akan mengulangi prestasi baik yang ditunjukkan beliau sewaktu memegang tampuk kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan.

RATING: 7.5/10

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!