Atlet Muay Thai negara terus gegar Bangkok

Mohammad Rifdean (kiri) mengungguli Kategori Bawah 23 Elite 48kg selepas menewaskan Chittra yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 2019. Foto Bernama
Mohammad Rifdean (kiri) mengungguli Kategori Bawah 23 Elite 48kg selepas menewaskan Chittra yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 2019. Foto Bernama
A
A
A

SKUAD Muay Thai Malaysia terus menampilkan aksi cemerlang apabila meraih dua lagi pingat emas pada Kejuaraan Muay Thai Dunia 2021 di Bangkok, pada Sabtu.

Pencapaian dua pingat emas menerusi Mohammad Rifdean Masdor dan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib pada hari terakhir kejohanan itu yang berlangsung di Stadium Nasional, menyaksikan kem negara berjaya membawa pulang lima emas secara keseluruhan.

Pada aksi hari ini, Mohammad Rifdean, 19, berjaya meraih pingat emas dalam Kategori Bawah 23 Elite 48 kilogram (kg) selepas menewaskan wakil Thailand Naruephon Chittra yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 2019.

Kejayaan anak kelahiran Kuching itu sekali gus berjaya menembus kekecewaannya pada Kejuaraan Muay Thai Dunia 2019 yang menyaksikan Mohammad Rifdean hanya meraih perak apabila kalah tipis satu mata kepada lawannya itu.

Ketika ditemui, Ketua Jurulatih Skuad Muay Thai negara, Bernard Radin memuji aksi ditampilkan anak buahnya itu yang berjaya mempamerkan prestasi cemerlang.

"Prestasi Mohammad Rifdean berjalan seperti dirancang. Pertarungan ini menyebelahi kami. Saya rasa ia satu perjuangan hebat, strategi yang bagus dan segalanya berlaku pada masa yang tepat," katanya.

Sementara itu, Ahmad Nor Iman Aliff, 17, memenangi pingat emas selepas menewaskan lawannya David Muradian daripada Persekutuan Muay Thai Rusia bagi kategori Remaja 16-17 tahun dalam acara 51kg.

Pada kejohanan anjuran Persekutuan Antarabangsa Muay Thai Amatur (IFMA) itu yang bermula 5 Disember lalu, Malaysia menghantar atlet berusia 10 hingga 30 tahun dalam pelbagai kategori iaitu Senior, Bawah 23 dan Remaja.

Artikel Berkaitan:

Selain Mohammad Rifdean dan Ahmad Nor Iman Aliff, tiga atlet negara yang turut menyumbang pingat emas pada kejohanan itu adalah Texas Jeremy Lo (Remaja 12-13; 44kg), Ahmad Akid Mohd Nazrul Hisyam (Remaja 12-13; 54kg) dan Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar (Remaja 11-13; 32-36kg).

Skuad Muay Thai Malaysia turut meraih empat pingat perak dan lapan gangsa menerusi kategori Bawah 23 Tahun dan Remaja.

Sementara itu, Presiden Persatuan Muaythai Malaysia, Datuk Muhammad Shahnaz Maula Azmi berkata, beliau bangga dengan prestasi atlet Muay Thai negara pada kejohanan ini.

"Kita tidak letak sasaran pingat pada kejohanan kali ini kerana skuad Malaysia sudah hampir dua tahun tiada sebarang pertandingan berikutan pandemik Covid-19 sebaliknya atlet negara lain telah menyertai pelbagai pertandingan dan kejohanan.

"Kami gembira ... ini lebih daripada jangkaan. Kita hanya mahu mengembangkan prestasi atlet Muay Thai negara selepas pandemik Covid-19 melalui kejohanan ini," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!