Kutip cendawan sawit untuk sara keluarga

Sadiah mula mencari tumbuhan itu selepas kehilangan pekerjaan sebagai konduktor bas pada 2004 - Foto Astro AWANI
Sadiah mula mencari tumbuhan itu selepas kehilangan pekerjaan sebagai konduktor bas pada 2004 - Foto Astro AWANI
A
A
A

LUNDU- Seawal 5 pagi lagi, Sadiah Abdullah dan suaminya, Hamzah Bujang akan membonceng motosikal ke sebuah ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira 45 minit dari rumahnya bagi mencari cendawan sawit.

Sejak 17 tahun lalu, cendawan sawit menjadi sumber rezeki buat pasangan suami isteri berusia 62 tahun ini untuk menyara tiga orang anaknya.

Musim kemarau dan binatang berbisa, menjadi cabaran buat mereka sepanjang bergelar penjual cendawan sawit. Namun, itu semua alah bisa, tegal biasa.

Menceritakan pengalaman tersebut kepada Astro AWANI, Sadiah berkata dia mula mencari tumbuhan itu selepas kehilangan pekerjaan sebagai konduktor bas pada 2004.

Dia mendapat idea menjual cendawan sawit memandangkan ia tidak memerlukan modal untuk memulakan perniagaan, selain cendawan sawit mendapat sambutan dalam kalangan penduduk setempat.

Setiap hari, Sadiah dan suami akan menghabiskan masa selama tiga jam di ladang kelapa sawit sebelum pulang membersihkan cendawan sawit untuk dijual di Pasar Tamu Lundu.

"Kadang-kadang sampai 20 kilogram, kadang-kadang 15kg sahaja (dapat), tidak tentu. Kalau dapat sikit, sikitlah pendapatan.

"Kalau musim kemarau, tiada juga sebab kering. Tetapi setakat ini memang sentiasa ada (kulat) walaupun hanya dua atau tiga kilogram," katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Menjadi lumrah sebagai peniaga, kadangkala hasil jualan cepat habis, tetapi ada juga hari yang terpaksa menunggu pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Bagi Sadiah, dia beruntung kerana tidak ramai yang menawarkan cendawan sawit di Pasar Tamu Lundu, yang ketika ini dijual pada harga RM20 sekilogram.

Situasi itu menyebabkan cendawan sawit yang dijual Sadiah menjadi buruan para pelanggan daripada pelbagai kaum dan agama.

"Kadang-kadang pukul 12 tengah hari jualan saya sudah habis... tetapi kadang-kadang saya duduk sini (menunggu pelanggan).

"Tak kira (kaum) Cina, Melayu... semua mahu beli. (Pelanggan) Pakistan yang jual karpet pun datang cari," ceritanya lagi.

Sementara itu, pesara tentera, Watson Jiti, 63, berkata hampir setiap minggu dia akan membeli cendawan sawit kerana ia amat digemari oleh ahli keluarganya.

Katanya, cendawan sawit boleh dimasak dalam pelbagai resipi.

"Sebab cendawan ini boleh dikatakan sedap dimakan termasuk digoreng dengan tepung, sup dan sebagainya. Macam yang payung (cendawan besar) ini boleh goreng, dan kalau ada masa, kita pergi cari sendiri di ladang," katanya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!