Bahasa Melayu bahasa berdaulat

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap menggunakan Bahasa Melayu pada pentas antarabangsa di Glasgow, Scotland iaitu Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26).
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap menggunakan Bahasa Melayu pada pentas antarabangsa di Glasgow, Scotland iaitu Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26).
A
A
A

BARU-baru ini, Malaysia mencatat sejarah apabila Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap menggunakan Bahasa Melayu pada pentas antarabangsa di Glasgow, Scotland iaitu Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26).

Kita merasa amat bangga pemimpin ini membawa Bahasa Melayu ke arena global dengan perwatakan nasionalis bahasa dimartabatkan.

Ada yang menyoal tindakan beliau janggal terutama dalam kalangan pembawa bahasa asing. Barangkali mereka tidak sedar, beberapa buah negara khususnya Perancis, Jepun, China, Jerman, Sepanyol, Rusia, Indonesia dan negara latin tidak akan berkompromi penggunaan dan amalan bahasa rasmi termasuk di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Malaysia merupakan sebuah negara yang rencam, pelbagai, majmuk dan anekaragam. Bahasa perpaduan adalah Bahasa Melayu yang juga merupakan bahasa perhubungan, komunikasi serta bahasa rasmi.

Namun, dari segi pelaksanaan, adakah ia bersifat menyeluruh? Peruntukan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan 'Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.

Adakah ini diikuti sepenuhnya atau kita bersifat selektif dalam amalan, penggunaan dan pelaksanaannya?

Adakah institusi Parlimen, Perundangan dan Kehakiman menggunakannya secara menyeluruh sebagai suluhan ke atas peranan mereka untuk menjadi peneraju dalam ‘pelaksanaan’, ‘pemantauan’ dan ‘penilaian’ ke atas kedudukan bahasa sebagai bukan bahasa pengantar tetapi juga bahasa ‘kebiasaan’ dalam kehidupan harian.

Penyampaian dalam pentadbiran dan pendidikan serta bahasa ilmu wajib melihat di manakah maruah bangsa Malaysia jika Bahasa Melayu sekadar memenuhi citra-rasa sesetengah pihak manakala sebahagiannya meminggirkan status dalam Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Penghayatan ke atas kedaulatan Bahasa Melayu bukan sekadar pengisian Bulan Bahasa. Ia adalah bahasa yang wajar digunakan seharian. Ia bukan bahasa yang digunakan penuh ‘kepura-puraan’ ketika terdesak dan memerlukan.

‘Bahasa Jiwa Bangsa’ atau ‘Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita’ mesti diangkat ke persada lebih tinggi. Apa guna ia terpahat dalam Perlembagaan tetapi terus diperlekehkan atau diejek serta merendahkan kedudukannya. Ia dilakukan oleh segelintir yang masih menamakan dirinya ‘warga Malaysia’.

Roh Penyata Razak 1956 perlu dijadikan rujukan bila dengan jelas menyatakan "budak-budak ini hendaklah belajar perkara yang sama melalui Bahasa Kebangsaan yang sama".

Ia sudah dipersetujui, tidak ada kompromi sewenang-wenangnya hanya kerana mahu menjaga kedudukan di peringkat antarabangsa.

Jika begitu, adakah negara seperti Jepun, Jerman ataupun Perancis gagal dalam aspirasi hala tuju dan masa depan negara kerana taksub dengan bahasa rasmi masing-masing? Tidakkah kita mahu Bahasa Melayu menjadi ikutan, diterap dan amal.

Korea, Taiwan, Indonesia dan Thailand bangga dengan bahasa mereka kerana ia adalah cerminan ke atas jati diri mereka.

Maruah dan harga diri kita adalah pada keupayaan mempertahankan dan berkorban dalam memelihara kedudukan kewarganegaraan termasuk Bahasa Melayu sebagai bahasa ‘Keluarga Malaysia’.

Keluarga Malaysia yang menjadi agenda induk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri wajar memperkukuhkan kedudukan Bahasa Melayu dengan menjadikan ia sebagai telapak penyatupaduan, kesepaduan dan perpaduan keluarga Malaysia.

Masa depan Bahasa Melayu bergantung kepada sejauh manakah kita memahami konsep ‘Bela Negara’ dengan kesungguhan untuk mempertahankan apa yang sudah dibina selama ini, bangga menjadi warga Malaysia, menjunjung ketertinggian Perlembagaan, menjaga kedaulatan negara, bersedia untuk berkorban dan menjaga keselamatan negara serta fasih berbahasa Melayu.

Bahasa Melayu masih belum mantap penggunaannya. Mendepani cabaran globalisasi, kedudukan Bahasa Melayu wajib diangkat bersama. Ia bukan sekadar tanggungjawab nasionalis bahasa. Ia adalah tanggungjawab bersama baik dalam keluarga, media, institusi pendidikan, kementerian/agensi kerajaan dan pemimpin mesti meraikan penyampaian Bahasa Melayu.

Ia akan sekadar kekal dalam Perlembagaan jika tidak ada keikhlasan. Jujurkah kita untuk mempertahankan Bahasa Melayu, Bahasa berdaulat? Keberanian Tuan Ibrahim mesti turut dijejaki oleh pemimpin lain yang menamakan diri mereka ‘Keluarga Malaysia.

*Profesor Dr Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!