'Jangan dibolosi kesilapan mudah'

Tan Cheng Hoe - Foto Bernama
Tan Cheng Hoe - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN Harimau Malaya dituntut fokus sepanjang tempoh perlawanan selain tidak melakukan kesilapan mudah apabila berdepan gergasi Raja Bola Sepak Asia Tenggara, Vietnam dalam aksi Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan malam ini.

Malah menurut pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, Naga Emas yang berstatus kedudukan ranking 99 dunia dan 17 Asia itu pastinya tampil dengan misi memburu kemenangan bagi mencerahkan laluan ke pusingan seterusnya akan memanfaatkan kealpaan dalam kalangan pemain negara.

"Setiap jurulatih pasukan mempunyai perancangan tersendiri untuk memenangi perlawanan masing-masing terutamanya perlawanan penting seperti ini.

"Perkara yang paling penting dalam perlawanan ini adalah setiap pemain perlu fokus sepanjang perlawanan dan tidak boleh melakukan kesilapan mudah individu yang membolehkan lawan menjaringkan gol.

"Untuk itu setiap pemain Harimau Malaya perlu memperkemaskan corak bertahan dan menyerang sebagai satu unit pasukan bagi menghasilkan keputusan positif dalam perlawanan ini," katanya.

Anak buah Cheng Hoe selepas bermula momentum positif dalam dua perlawanan terawal menewaskan Kemboja (3-1) dan Laos (4-1), akan berdepan ujian sebenar kejuaraan kali ini apabila berdepan gergasi Asean, Vietnam kendalian Park Hang Seo tersebut.

Perlawanan Harimau Malaya menentang Naga Emas ini juga boleh diibaratkan aksi ulangan perlawanan akhir edisi 2018 yang menyaksikan skuad negara akur tewas 2-3 secara agregat.

Pada masa sama, Cheng Hoe percaya dua kemenangan awal sebelum ini merupakan penyuntik semangat kepada para pemain negara.

Artikel Berkaitan:

"Kita tahu Vietnam berada dalam kelas tersendiri dan kita tidak memperoleh keputusan positif ketika berdepan mereka sebelum ini.

"Biarpun begitu saya percaya para pemain negara juga memiliki keupayaan tersendiri untuk mengejutkan lawan pada perlawanan ini.

"Seperti mana yang saya ingatkan sebelum ini, setiap pemain perlu fokus semasa transisi daripada menyerang ke bertahan selain tidak bolos disebabkan kesilapan individu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!