116 penduduk Kota Marudu dipindahkan di dua PPS
KOTA MARUDU - Seramai 116 penduduk dari tiga kampung di daerah ini dipindahkan ke dua pusat penempatan sementara (PPS) pada malam Sabtu.
Mangsa yang membabitkan 38 keluarga dari Kampung Rakit, Kampung Damai dan Kampung Kampar itu dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan berterusan pada Sabtu.
Difahamkan, penduduk yang dipindahkan membabitkan 56 lelaki dan 60 wanita serta ditempatkan di PPS Saint Theresa dan di Dewan Sekolah Menengah Gosen.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, setakat ini pemindahan yang dibuat oleh pasukan bomba hanya melibatkan tiga kampung.
Menurutnya, setakat ini, pasukan bomba masih melakukan operasi memindahkan mangsa ke PPS dari kawasan banjir.
"Operasi membabitkan 10 anggota dan pegawai bersama sebuah lori serta bot yang dikerah ke lokasi banjir.
"Pasukan bomba seterusnya melakukan rondaan di kawasan yang berisiko banjir dari masa ke masa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata, paras di dua sungai di daerah ini meningkat disebabkan hujan berterusan sehingga menyebabkan beberapa kampung dinaiki air.
"Hujan berterusan semalam menyebabkan paras air Sungai Bandau dan Sungai Bongon meningkat sehingga menyebabkan berlaku banjir kilat di tiga kampung berkenaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!