20 individu ditahan terlibat pelbagai kesalahan trafik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan 20 individu atas pelbagai kesalahan trafik dalam Ops Samseng Jalanan dan Ops Motosikal di beberapa lokasi utama sekitar ibu kota bermula pada Jumaat hingga awal pagi Ahad.

Operasi bermula jam 9 malam hingga 4 pagi diadakan di sekitar pusat bandar, Jalan Ipoh, Jalan Raja Laut, Jalan Chow Kit, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, empat lelaki ditahan kerana menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig zag, roket, superman serta bersaing sesama sendiri.

Menurutnya, kesemua mereka berumur dalam lingkungan 20 hingga 24 tahun akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) 1987 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Selain itu, seorang lelaki berumur 30 tahun turut ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan 15 lelaki pula ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 55 tahun dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya dan disiasat di bawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Sarifudin berkata, secara keseluruhan sebanyak 251 jumlah saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan.

"Turut disita adalah enam buah motosikal atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos) dan disiasat di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak JPJ serta diarahkan mengubah ke struktur asal," katanya.

Tambahnya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu.

"Operasi akan terus dijalankan bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik ( JSPT ), Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!