Harimau Malaya mahu kejutkan Naga Emas
DUA kemenangan awal ke atas Kemboja dan Laos menjadi azimat skuad Harimau Malaya apabila berdepan Vietnam pada aksi Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan, pada Ahad.
Menurut pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, dua kemenangan itu memberikan suntikan moral dan keyakinan dalam kalangan pemain apabila berdepan lawan sebenar yang juga juara edisi 2018 tersebut.
“Semua pemain sudah cukup bersedia mengharungi perlawanan ini dan dua kemenangan sebelum ini menjadikan pemain lebih yakin untuk berdepan Vietnam.
“Seperti yang kita semua tahu, Vietnam telah pun mencapai tahap tertentu dalam arena bola sepak di peringkat antarabangsa dan selain itu kita juga tidak mempunyai rekod baik ketika berdepan mereka.
“Tapi kali ini, kita merancang untuk kejutkan mereka dan setakat ini apa yang penting kita sudah pun merangka percaturan strategi untuk itu,” katanya pada sidang media dalam talian pada Sabtu.
Pertembungan itu diibaratkan ulangan aksi final edisi 2018 lalu yang menyaksikan Harimau Malaya tewas 2-3 secara agregat, dijangka berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan bagi mencerahkan peluang mara ke separuh akhir.
Mengulas dakwaan pengendali Vietnam Park Hang-Seo berhubung permohonan skuad negara mendapatkan pemain pengganti setelah empat pemain disahkan positif Covid-19 sebagai tidak adil, Cheng Hoe berkata, semua pihak seharusnya lebih fleksibel berhubung perkara berkenaan.
“Kami faham segala peraturan, tetapi dalam keadaan tertentu, semua pihak perlu lebih fleksibel dan lebih memahami jika perkara sama berlaku kepada pasukan lain.
“Malah, jika insiden sama mungkin berlaku kepada pasukan lain, dan jika itu berlaku kami juga akan lebih fleksibel dan memahami situasi semasa dengan membenarkan penggantian pemain,” katanya.
Untuk rekod, Harimau Malaya terpaksa menyisihkan penjaga gol Khairulazhan Mohd Khalid, Muhammad Faisal Abdul Halim (pemain sayap), Muhammad Akhyar Abdul Rashid (pemain sayap) dan pemain pertahanan Quentin Cheng selepas keempat-empatnya disahkan positif Covid-19.
Sementara itu, Cheng Hoe berkata, persiapan skuad negara menjelang aksi berdepan Vietnam berjalan lancar dengan apabila para pemainnya bebas sebarang kecederaan.
Katanya, perkhabaran itu secara tidak langsung situasi itu memudahkan tugasannya untuk merencana strategi terbaik bagi berdepan skuad Naga Emas itu.
“Para pemain berada dalam keadaan terbaik dan diharapkan tidak berlaku kecederaan. Kita sememangnya memerlukan semua pemain dalam keadaan sihat dan cergas bagi mengharungi saingan kali ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!