Kejutan Konvoi #RasuahBusters di Pasar Tani Stadium Shah Alam

Pengunjung Pasar Tani Stadium Shah Alam turut menyertai aktiviti yang disediakan pasukan Konvoi #Rasuah Busters pada Ahad. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Pengunjung Pasar Tani Stadium Shah Alam turut menyertai aktiviti yang disediakan pasukan Konvoi #Rasuah Busters pada Ahad. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SHAH ALAM - Semarak 'merah garang' yang berada di Pasar Tani Stadium Shah Alam seawal pagi ternyata mengejutkan sebahagian besar pengunjung pasar terbuka terbesar di negara ini.

Apa tidaknya, dengan membawa plakad, banting dan kayu papan tanda di kawasan tapak pasar tani berserta laungan antirasuah yang bergema di Stadium Shah Alam, ribuan pengunjung terkesima seketika dengan situasi yang tidak dijangkakan itu.

Bergerak masuk ke dalam perkarangan pasar tani, aura kehadiran pasukan Konvoi #RasuahBusters mula menyelubungi persekitaran lokasi 'pendaratan' aktiviti singgah santun bagi menyampaikan mesej anti rasuah.

Walaupun pada mulanya agak terkejut, pengunjung pasar tani yang sememangnya 'sporting' bersama-sama menjayakan mesej lawan rasuah.

Pengunjung Pasar Tani Stadium Shah Alam turut menyertai aktiviti yang disediakan pasukan Konvoi #Rasuah Busters pada Ahad. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Pengunjung Pasar Tani Stadium Shah Alam turut menyertai aktiviti yang disediakan pasukan Konvoi #Rasuah Busters pada Ahad. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

Rata-rata pengunjung yang hadir terlibat sama dengan menyertai pelbagai aktiviti disediakan oleh pasukan Konvoi #RasuahBusters.

Selain aktiviti santai seperti sepak bola ke lubang kecil, permainan dart dan timbang bola, orang ramai juga disajikan dengan pelbagai hadiah istimewa diberikan secara percuma oleh Sinar Harian, Era FM serta Sinar FM.

Pembaca setia Sinar Harian di sekitar Shah Alam juga bertuah kerana boleh mendapat hadiah istimewa daripada akhbar nombor satu itu iaitu berupa jersi edisi khas Sinar Harian secara percuma.

Artikel Berkaitan:

Pembelian dua naskhah Sinar Harian melayakkan orang ramai mendapatkan jersi istimewa Sinar Harian tersebut.

Semua pengunjung Pasar Tani Stadium Shah Alam tidak pulang dengan tangan kosong apabila mereka diberikan pelitup muka khas yang tertera logo Rasuah Busters.

Misi Konvoi #RasuahBusters di Lembah Klang diteruskan di Pasar Tani Stadium Shah Alam pada hari keempat. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Misi Konvoi #RasuahBusters di Lembah Klang diteruskan di Pasar Tani Stadium Shah Alam pada hari keempat. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

Program turut dihangatkan dengan ucapan daripada pelbagai agensi gabungan pasukan Rasuah Busters daripada wakil Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram).

Ucapan wakil ABIM disampaikan oleh Exco ABIM Selangor, Muhammad Bukhari Nordin, manakala ucapan wakil badan pengurusan Stadium Shah Alam disempurnakan oleh Ketua Jabatan Operasinya, Ahmad Sayuti Bashiron.

Selain itu, mesej antirasuah turut disampaikan oleh Presiden Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia, Nur Atikah Talhah dalam bentuk puisi dan bermadah.

Penerangan ringkas bahaya rasuah disampaikan oleh wakil SPRM, R Kumaran.

Kesungguhan menyampaikan mesej antirasuah turut dibantu oleh penyiaran mesej antirasuah menerusi skrin gergasi daripada lori yang disediakan oleh syarikat insurans terkemuka, Allianz.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!