BN fokus tawan pengundi 18 tahun ke atas
LUMUT - Barisan Nasional (BN) memfokuskan untuk memenangi hati 5.8 juta pemilih berusia 18 tahun ke atas berikutan pendaftaran secara automatik kumpulan itu sudah diwartakan dan berkuat kuasa pada 15 Disember ini.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beberapa perancangan dibuat berikutan kelompok terbabit merupakan pengundi baharu bagi pilihan raya akan datang.
"Ia merupakan satu pengalaman baru bagi peringkat umur 18 hingga 21 tahun. Paling mustahak mereka merupakan pengundi dalam demografi politik dan negara.
"Maka pihak parti membuat beberapa perbincangan dalam usaha mendekati mereka ini. Diharapkan bahawa dengan dasar-dasar yang ada serta pendekatan baharu yang dilakukan maka ia akan dapat bersama-sama menarik golongan muda ni," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lumut di Dewan Majlis Perbandaran Manjung di sini pada Ahad.
Zambry mengakui pihaknya turut menghadapi kesukaran untuk mengenalpasti kumpulan terbabit dari segi bancian.
"Kesukaran di peringkat ini adalah untuk mengenal pasti siapa mereka dan di mana mereka tinggal kerana ini merupakan satu jumlah yang besar yang diletakkan di satu-satu kawasan atau parlimen.
"Inilah cabaran baharu untuk kenal pasti mereka. Selain itu, kita perlu membaca dari segi pemikiran, citarasa dan kehendak mereka. Parti perlu mendengar pandangan dan suara ini," katanya.
Kata Zambry, beliau percaya semua parti termasuk pembangkang masih tercari-cari kecenderungan golongan 18 tahun ke atas ini kerana ia merupakan satu pengalaman baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!