Bas bawa 45 pekerja kilang terbakar
SEREMBAN - Sebuah bas persiaran yang membawa 45 pekerja kilang yang baharu selesai menerima vaksin Covid-19 terbakar di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Bukit Putus di sini pada Ahad.
Bagaimana pun kejadian pada jam 12.05 tengah hari itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Mohd Hidayat Basly berkata, tiga jentera dari Senawang, Seremban dan Seri Menanti ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada pemandu bas.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati bas itu sedang terbakar manakala penumpang dan seorang pemandu bas sempat keluar daripada bas serta berkumpul di kawasan selamat.
"Pemandu bas memberitahu dia memberhentikan kenderaan di tepi jalan selepas ternampak asap pada bahagian enjin," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, bomba mengambil masa hampir satu jam untuk memadamkan api dan bas itu musnah 100 peratus.
Beliau berkata, bas itu dalam perjalanan menghantar pulang 45 pekerja kilang ke Simpang Pertang, Jelebu selepas selesai menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perniagaan Cattleya.
"Tiada mangsa yang cedera dalam kebakaran tersebut kerana kesemua mereka sempat keluar dan menyelamatkan diri lebih awal," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!