Bayar parkir secara digital bermula 3 Januari
SHAH ALAM - Pembayaran parkir yang diuruskan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Selangor akan menggunakan sepenuhnya kaedah digital bermula pada 3 Januari depan.
Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dalam kenyataan memaklumkan semua pembayaran akan dibuat menggunakan e-kupon menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) yang lebih mudah, cepat dan selamat.
Menurut SSDU, pengguna hanya perlu mengisi nombor pendaftaran kereta dan membayar berdasar tempoh meletak kenderaan.
"Selain itu, pembayaran juga boleh dibuat melalui ejen e-kupon yang sah.
"Tambah nilai kredit kupon juga boleh dibuat di beberapa kedai serbaneka antaranya 7-Eleven, 99 Speedmart dan KK Mart," menurut kenyataan itu di laman Facebook SSDU.
Dalam pada itu, orang awam yang tidak mempunyai telefon pintar atau aplikasi berkenaan, sistem ejen e-kupon akan disediakan sebagai alternatif.
Pengguna boleh melayari Facebook Smart Selangor Parking dan hubungi 1700819612 untuk keterangan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!