Mencipta pekerjaan mahir jadi KPI utama Keluarga Malaysia

Noor Azlan Ghazali
Noor Azlan Ghazali
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha mencipta pekerjaan mahir perlu dijadikan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) Keluarga Malaysia bagi menangani masalah pasaran tenaga kerja dalam negara.

Pengarah Eksekutif Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Profesor Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, industri Malaysia tidak mampu mencipta pekerjaan baharu yang sesuai untuk golongan berkelayakan tertiari.

Menurutnya, berdasarkan Laporan Statistik Guna Tenaga Tahunan Mengikut Kemahiran (2018-2020), bagi tahun 2020 hanya 25,300 pekerjaan baharu kategori pekerjaan mahir yang memerlukan kelayakan tertiari dicipta.

“Sebelum Covid-19 pada tahun 2019, hanya 44,700 pekerjaan mahir dicipta sedangkan hampir 300,000 graduan baharu memasuki pasaran setiap tahun. Ketidakpadanan ini dapat dilihat dalam portal pencarian kerja MyFuture Job Portal.

“Ini merupakan cabaran besar untuk Malaysia mencapai status berpendapatan tinggi. Lihat dengan lebih mendalam, bukan hanya bilangan pekerjaan yang dicipta, tetapi kualiti pekerjaan dan gaji yang ditawarkan juga penting,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, pada tahun 2020, hanya 16.4 peratus penduduk Malaysia memiliki kelayakan pendidikan tinggi, kelayakan tertiari atau berijazah.

“Berbanding negara maju, Malaysia masih jauh purata untuk negara maju Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) (46.5 peratus), Jepun (69.8 peratus) dan Korea (61.5 peratus).

“Yang lebih merisaukan ialah kesediaan dan keupayaan ekonomi negara mewujudkan jenis pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan tertiari.

Artikel Berkaitan:

“Malaysia berhadapan dengan masalah struktur pasaran tenaga kerja yang serius, ini bukan masalah Covid-19! Ini masalah struktur yang telah lama dikenalpasti tetapi masih tiada penyelesaian yang mutlak,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi tahun 2020, sekitar lima peratus atau 800,100 individu yang memiliki kelayakan tertiari tidak menyertai tenaga buruh, tidak bersedia dan tidak aktif mencari pekerjaan sekali gus membawa kerugian besar buat negara.

Tambahnya, daripada jumlah yang menyertai tenaga buruh, seramai 202,400 (4.4 peratus) graduan yang menganggur, manakala yang bekerja seramai 1.36 juta (31.2 peratus) memiliki pekerjaan yang tidak setara dengan kelayakan mereka.

“‘Crowd out’ asakan keluar dari atas berlaku bagi yang memiliki kelayakan lebih rendah, umumnya SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) ke bawah. Ke mana mereka?

“Dari bawah mereka diasak keluar oleh pekerja asing tanpa kemahiran dengan tawaran gaji yang rendah. Tahun 2020, pengangguran belia mencecah 12 peratus, masalah struktur yang berkemungkinan besar boleh menimbulkan masalah sosial,” jelas Noor Azlan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!