Aspek halal produk diimport sentiasa jadi keutamaan kerajaan: PM

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

BERA - Aspek halal sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan produk makanan yang diimport memenuhi kehendak pengguna khususnya orang Islam di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap produk makanan termasuk ayam dan daging yang diimport dari luar akan dipastikan benar-benar halal dan bersih sebelum dikeluarkan pengesahan sijil halal untuk pasaran negara ini.

"Saya pun tidak faham ada penceramah agama membuat cerita bukan-bukan tanpa usul periksa kononnya ayam daripada Thailand dan China tidak halal.

"Kalau diimport dari China atau Thailand sekali pun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan siasat bukan sahaja sembelihan tetapi kebersihan yang menjadi syarat utama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera Berhad (Kopbera) di Dewan Masjid Nurulsallam Kampung Batu Papan di sini pada Ahad.

Ismail Sabri (tengah) beramah mesra dengan ahli koperasi yang hadir di Masjid Nurulsallam Kampung Batu Papan, Bera pada Ahad.
Ismail Sabri (tengah) beramah mesra dengan ahli koperasi yang hadir di Masjid Nurulsallam Kampung Batu Papan, Bera pada Ahad.

Ismail Sabri mengulas dakwaan seorang penceramah bebas bahawa ayam beku yang diimport dari China dan Thailand ke negara ini tidak halal.

Satu video sebelum ini tular di media sosial mengenai seorang penceramah bebas mendakwa loji-loji ayam Thailand dan China yang mengeksport produk ayam ke Malaysia telah tamat tempoh dan tidak halal.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri memberitahu, kerajaan tegas dalam aspek halal produk makanan yang diimport ke pasaran negara ini.

"Contohnya untuk import daging lembu yang murah, saya pernah cuba membawa masuk dari Sudan tetapi bila Jakim dan veterinar dapati kilang tidak bersih, akhirnya kilang tersebut tidak dibenarkan sampai sekarang walaupun ia negara Islam yang memang halal sembelihan.

"Sekarang ini halal bukan setakat sembelihan, bukan sahaja sijil kilang bersih tetapi pengangkutan kena halal, sampai tahap pengangkutan maknanya tidak ada barang lain tak halal," tambahnya.