Pendapatan petani Kelantan dijangka tingkat hingga 20 peratus
BACHOK - Pendapatan petani di Kelantan dijangka meningkat antara 15 sehingga 20 peratus menerusi kerjasama antara Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Selangor yang terjalin di Pusat Latihan Pertanian Al-Falah KPKB di sini pada Ahad.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerjasama melalui Program Perintis Pemasaran Hasil Tani itu bertujuan membantu petani memasarkan hasil tanaman mereka ke luar Kelantan khususnya Selangor.
Katanya, kerajaan Kelantan menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi menampung kos logistik untuk proses pengambilan dan penghantaran hasil tanaman dalam program kerjasama itu.
“Petani tidak boleh mendapatkan pulangan yang baik sekiranya tidak dapat memasarkan hasil tanaman mereka dengan sempurna.
“Jadi, ini adalah salah satu usaha untuk membantu petani menyelesaikan isu pemasaran kerana kami terima aduan mereka tidak dapat memasarkan hasil tanaman,” katanya selepas Majlis Dialog Khas Petani pada Program Perintis Pemasaran Hasil Tani di Pusat Latihan Pertanian Al-Falah, KPKB di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengurus Besar PPK Kuala Langat, Selangor, Mohd Shakran Shamsudin dan Pengurus Besar KPKB, Mohd Mukhlis Mukhtar.
Tuan Mohd Saripudin berkata, menerusi kerjasama tersebut, PPK Kuala Langat, Selangor akan membantu para petani Kelantan untuk memasarkan tanaman berpotensi dan mendapat permintaan seperti cili, timun, terung serta labu.
“Pada peringkat pertama seramai 30 petani akan menyertai program ini dengan lebih 100 tan hasil tanaman yang akan dieksport ke Selangor.
“Logistik diuruskan oleh Kumpulan Fertigasi Hijau Wilayah Timur manakala proses pemasaran hasil tanaman itu ke pasar raya atau kilang-kilang akan dilakukan oleh PPK Kuala Langat,” katanya.
Tambah beliau, sektor pertanian Kelantan menjadi penyumbang kedua terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan peruntukan RM20 juta setahun daripada kerajaan negeri dan ditambah oleh kerajaan Pusat.
“Walaupun dalam tempoh pandemik, jumlah pengeluaran tahun lalu meningkatkan 23 peratus berbading 19 peratus pada tahun sebelumnya.
“Petani digalakkan menyertai program ini dan menyusun jadual penanaman yang baik supaya tidak berlaku lambakan atau pengurangan hasil yang boleh menjejaskan harga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!