RAVO diteruskan jika ada keperluan tingkatkan vaksinasi Sabah
SANDAKAN - Operasi Penilaian dan Vaksinasi Pantas (RAVO) yang tamat pada 30 November lepas, akan diteruskan jika ada keperluan untuk meningkatkan kadar vaksinasi Covid-19 di enam daerah di Sabah yang masih mencatatkan kadar vaksinasi terendah.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, program itu yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), digerakkan pada awal Oktober lepas dengan menyasarkan Kinabatangan, Kunak, Tawau, Tongod, Sandakan dan Nabawan, kerana masing-masing mencatat kadar vaksinasi di bawah 70 peratus.
"Bagaimanapun, menerusi usaha RAVO ini kita berasa lega dengan perkembangan lebih 90 peratus penduduk dewasa yang ditemui mahu dan telah divaksinasi di beberapa lokaliti yang disasarkan.
"Kita akan buat lagi (RAVO) jika ada keperluan. Namun, JKNS kini masih meneruskan pemberian vaksin di fasiliti kesihatan dan klinik swasta berdaftar secara percuma," katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.
Beliau ditemui selepas menghadiri majlis penghargaan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Sukarelawan Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) yang terlibat dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Sandakan.
Shahelmey turut memaklumkan pencapaian sebenar kadar vaksinasi di Sabah akan diselaraskan dengan hasil bancian penduduk yang akan diumumkan Jabatan Perangkaan dalam masa terdekat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!