Kegagalan pinda Perlembagaan Persekutuan pada 2019 bukan salah PH

Chong Chieng Jen
Chong Chieng Jen
A
A
A

KUCHING - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen menuding jari ke arah Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas kegagalan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dilakukan pada 2019 yang lalu.

Beliau berkata, pindaan terhadap Perkara 1(2) untuk mengembalikan status hak-hak Sarawak dan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu sepatutnya berjaya sekiranya mendapat sokongan penuh daripada semua parti termasuk GPS.

Tegasnya, usaha murni yang diambil oleh kerajaan PH dua tahun lalu itu sebenarnya sengaja disabotaj oleh GPS sendiri bersama sekutunya iaitu UMNO dan Pas.

“Di bawah kerajaan PH juga 17 daripada 20 perkara untuk mengembalikan hak-hak di bawah MA63 telah berjaya dipinda.

“Bagaimanapun semua usaha kami yang lain sepanjang 22 bulan menjadi kerajaan telah gagal diteruskan sejurus digulingkan,” katanya ketika sidang akhbar di sini pada Ahad.

Chieng Jen berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 10 Disember lalu yang terus meletakkan kesalahan dan kegagalan kerajaan PH khususnya berkaitan MA63.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan PH dahulu telah memperuntukkan sejumlah RM1 bilion untuk membaiki dan menaik taraf 1,000 sekolah daif di Sarawak.

Chieng Jen yang merupakan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan berkata, kerajaan PH telah menggandakan geran tahunan Sarawak di bawah Perkara 112D dalam tempoh kurang dua tahun.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga sudah merancang untuk menggandakan sebanyak empat kali ganda dalam tempoh lima tahun lagi,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kerajaan PH turut menambah perbelanjaan pembangunan Sarawak kepada RM4.4 bilion pada 2020 iaitu 40 peratus lebih daripada jumlah yang pernah diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Ketika pemerintahan PH juga buat pertama kalinya Ketua Hakim Negara dilantik dari Borneo Malaysia iaitu Tun Richard Malanjum.

“Tidak dapat disangkal lagi, kerajaan PH selama ini sentiasa membela suara dan hak Sarawak serta Sabah dan menghormatinya sebagai rakan kongsi yang sama rata di negara ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!