MOSTI capai sasaran 100 peratus kesemua inisiatif ditetapkan

Adham Baba
Adham Baba
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjaya mencapai sasaran 100 peratus bagi kesemua 33 inisiatif termasuk tiga petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kejayaan itu didorong oleh kebersamaan Keluarga MOSTI dan agensi-agensi di bawahnya yang berusaha gigih untuk mencapai sasaran ditetapkan.

“Dengan pencapaian cemerlang ini, MOSTI akan terus memperkasa dan membudayakan sains, teknologi dan inovasi bagi jangka pendek dan jangka panjang serta memastikan apa jua inisiatif yang dilaksanakan sampai manfaatnya kepada Keluarga Malaysia.

“Bagi dua suku pertama tahun 2022, MOSTI akan memberi fokus antaranya bagi pelan hala tuju kecerdasan pintar, internet benda (loT), pertanian pintar, kenderaan elektrik dan nanoteknologi, pengkomersialan teknologi dron serta inovasi sosial.

“Pada masa sama, MOSTI akan turut mempergiatkan lagi sokongan kepada ekosistem syarikat pemula tempatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dr Adham menambah, kementeriannya juga akan mendukung aspirasi dan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk semua kementerian merancakkan aktiviti turun padang jelajah Keluarga Malaysia.

“Usaha ini termasuk mempergiatkan program-program kementerian bagi merakyatkan sains, teknologi dan inovasi agar sampai ke akar umbi.

“MOSTI yakin lebih banyak kisah kejayaan bakal dilakar demi manfaat Keluarga Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sains, teknologi dan inovasi merupakan medium penjanaan dan pemulihan ekonomi negara pasca-pandemik Covid-19.

“Malah jika diamati, apabila pandemik Covid-19 melanda dunia dan negara, semua pihak dengan segera mengadaptasi diri dengan teknologi agar tidak ketinggalan khususnya bagi tujuan kelangsungan perniagaan, mengurangkan interaksi fizikal iaitu dengan pendekatan ‘high tech-low touch (sentuhan rendah-berteknologi tinggi), serta memanfaatkan teknologi menggunakan pelbagai aplikasi bagi kemudahan seperti kesihatan, pendidikan dan penghantaran,” jelasnya.

Mengulas isu sama, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan menjelaskan, kesemua 33 inisiatif telah mencapai sasaran 100 peratus pada Selasa lalu.

“Tiga Aspirasi Keluarga Malaysia utama yang ditetapkan MOSTI telah dicapai lebih awal iaitu pada 15 November.

“Tiga aspirasi tersebut ialah pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara dan penubuhan Institut Genom dan Vaksin Negara, pembangunan ekosistem industri pemula yang komprehensif serta penginovasian sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi MyHackathon dan Malaysia Techlympics,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!