PBSNT anjur Liga Semi Pro Terengganu tahun depan
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menganjurkan Liga Bola Sepak Semi Pro Terengganu yang dijangka membuka tirai pada Mac depan.
Timbalan Presidennya, Marzuki Sulong berkata, liga itu akan disertai 12 pasukan dengan 10 daripadanya terdiri daripada ahli gabungan PBSNT manakala dua lagi pasukan jemputan yang akan ditentukan kelak.
Beliau berkata, objektif penganjuran adalah untuk membina ukhuwah sesama ahli gabungan selain mencungkil bakat baharu.
"Kita mahu ahli gabungan PBSNT (10 persatuan bola sepak daerah) memiliki kelab sendiri. Mereka inilah yang akan menjadi hati kepada peminat bola sepak di daerah masing-masing.
"Kita tak letak syarat khusus seperti had umur untuk pemain yang akan sertai kelab masing-masing. Mereka cuma perlu mempunyai skil di tahap semi profesional dan keutamaan haruslah kepada anak Terengganu," katanya pada sidang media selepas Kongres PBSNT 2021 di Kuala Nerus pada Ahad.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil yang juga Setiausaha Agung PBSNT.
Tengku Farok Hussin menyampaikan sagu hati RM8,000 kepada pasukan negara, Markless Komii atas kejayaan menjuarai Festival Bola Sepak Pantai AFF 2021 di Pattaya, Thailand bulan lepas.
Sementara itu, Marzuki yang juga Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkata, pihaknya bersedia untuk menganjurkan liga bola sepak pantai di Terengganu sebagai permulaan kepada penganjuran sukan itu di peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, sudah sampai masanya bola sepak pantai memiliki liga sendiri seperti sukan futsal yang kini menjadi antara sukan utama dan popular di Malaysia.
"Terengganu bersedia menjadi tuan rumah dalam apa jua kejohanan bola sepak pantai waima Festival AFF sekalipun.
"Kita mahu bola sepak memiliki liganya sendiri, bukan lagi dalam bentuk kejohanan kerana kejohanan ini selepas satu pertandingan, pemain akan hilang begitu saja," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!