BAM tak letak sasaran tinggi
SKUAD badminton negara tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi pada Kejohanan Dunia 2021 yang membuka tiranya secara rasmi di Huelva, Sepanyol pada Ahad.
Begitupun, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann tetap berharap barisan pemain negara meraih keputusan positif sebagai 'hadiah' penutup kalendar kejohanan tahun ini.
“Walaupun tiada sasaran khusus (tinggi) yang ditetapkan, harap pemain-pemain negara yang beraksi di Huelva akan terus fokus dan memberikan aksi terbaik mereka.
“Perkara yang rasa rasa terbaik boleh dilakukan pemain ketika ini adalah beri tumpuan untuk mencipta kejayaan yang lebih cemerlang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Tujuh gandingan beregu negara yang akan beraksi di Huelva tidak perlu mengerah keringat awal selepas mereka mendapat bye pada pusingan pertama.
Berdasarkan undian, keempat-empat beregu lelaki negara - Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong mendapat bye.Dalam saingan beregu wanita, pasangan muda negara yang menghuni ranking ke-16 dunia, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan antara yang turut bertuah mendapat bye.
Dua pasangan lagi - Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai pula mendapat bye dalam kategori beregu campuran pada pusingan pertama kali ini.
Dalam pada itu, Choong Hann berharap pemain negara tidak memandang mudah cabaran lawan mereka meskipun ketiadaan wakil Indonesia yang menarik diri susulan kebimbangan mengenai penularan jangkitan Covid-19.
“Walaupun tiada pemain Indonesia tetapi masih banyak lagi pemain hebat yang perlu mereka lawan. Jadi saya harap mereka tidak pandang rendah kepada lawan kerana ia mungkin akan memakan diri,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!