PRN Sarawak: Satu kertas siasatan berhubung SOP kempen dibuka
KUCHING - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan prosedur operasi standard (SOP) berkempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12).
Menerusi kenyataan media SPRM, siasatan telah dilakukan berhubung klip video yang disebarkan oleh Presiden Parti Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan semasa tempoh berkempen pada PRN-12 baru-baru ini.
Dalam kenyataan sama, SPRM turut menafikan dakwaan Lee Shan dikejar anggotanya, sebaliknya hanya menyampaikan notis pemakluman supaya beliau memberikan kerjasama dalam menjalankan siasatan.
ARTIKEL BERKAITAN:SPRM nafi tahan Presiden PBK
"SPRM cuba menghubungi beliau beberapa kali namun beliau gagal dihubungi, tetapi pada 12 Disember 2021, SPRM berhasil mengesan dan berjumpa Lee Shan di sekitar Kenyalang Park.
"Anggota SPRM pada waktu itu bertindak menjelaskan kepada Lee Shan mengenai keperluan untuk hadir ke Pejabat SPRM bagi membantu siasatan serta menyerahkan notis hadir pemeriksaan seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 kepadanya," kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, SPRM menegaskan bahawa dakwaan berlaku adegan kejar mengejar serta berlaku tangkapan ke atas beliau adalah tidak benar.
"Lee Shan turut memberi kerjasama dengan hadir ke pejabat SPRM Kuching pada pagi Ahad untuk membantu siasatan," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menjelaskan, SPRM sentiasa menjaga etika dan bersifat profesional semasa menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang undang yang berkuatkuasa.
Sebelum itu, Calon PBK Batu Lintang terbabit mendakwa dirinya ditahan pihak SPRM menerusi satu rakaman video yang ditularkan melalui laman Facebook.
Katanya, pada waktu itu, beliau sedang memandu keretanya melintasi Kenyalang Park apabila diarah berhenti oleh sebuah kereta yang cuba menahannya.
Untuk rekod, PBK menampilkan 73 calon pada PRN-12 dengan kempen ‘Bebaskan Sarawak dari Malaysia” atas dakwaan Perjanjian Malaysia 1963 tidak adil kepada rakyat Sarawak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!